Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hadir pada majlis pelancaran Logo dan Maskot Sukma XX Johor 2020, di Hotel Impiana Senai. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal hadir pada majlis pelancaran Logo dan Maskot Sukma XX Johor 2020, di Hotel Impiana Senai. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SUKAN Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) yang dianjurkan negeri ini menampilkan kelainan apabila menggunakan huruf jawi 'Jim' sebagai logo temasya itu.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata logo berkenaan bukan sahaja mewakili negeri malah menjadi identiti kebanggaan Bangsa Johor.

"Logo SUKMA ke-20 Johor memaparkan huruf jawi 'Jim' yang juga pangkal ejaan untuk Johor.

"Huruf jawi dipilih kerana Johor sehingga kini masih memartabatkan tulisan jawi malah dalam logo direka menggabungkan 'Jim' menjadi visual memaparkan obor temasya.

Dr Sahruddin Jamal (tengah) pada majlis pelancaran Logo dan Maskot Sukma XX Johor 2020. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Dr Sahruddin Jamal (tengah) pada majlis pelancaran Logo dan Maskot Sukma XX Johor 2020. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN

"Logo tercipta adalah hasil daripada pertandingan yang dilaksanakan pada tahun lalu namun penambahbaikan dari segi imej dan pengisiannya dibuat bagi memudahkan logo itu dikomersialkan sejajar dengan imej sukan malah ia mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan logo dan maskot SUKMA ke-20 Johor di Senai, hari ini.

Maskot SUKMA ke-20 iaitu seekor harimau yang dinamakan Jimi turut diperkenalkan kepada umum buat pertama kali.

Dr Sahruddin berkata, Jimi adalah seekor harimau yang berani dan garang turut menampilkan ciri kesultanan zaman berzaman yang menjadi identiti Johor.

"Jimi juga sentiasa aktif, comel, gebu dan ceria namun garang di gelanggang dengan kedua belah tapak tangannya terukir simbol gambir dan lada hitam, satu lagi identiti Johor sejak zaman berzaman, " katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, Johor sudah bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah terbaik SUKMA.

"Sebanyaj 38 lokasi sekitar Johor akan digunakan untuk 30 acara sukan yang membabitkan 14 kontinjen negeri selain Brunei dengan jangkaan atlet seramai 11,000.

"Penambahbaikan dan pembinaan beberapa fasiliti dan infrastruktur baharu akan siap selewat-lewatnya April 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:50 PM