DR Sahruddin menafikan dakwaan beliau meletak jawatan. FOTO Arkib NSTP.
DR Sahruddin menafikan dakwaan beliau meletak jawatan. FOTO Arkib NSTP.
Mary Victoria Dass


MENTERI Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, hari ini menafikan mahu meletak jawatan selepas hampir lima bulan memikul tanggungjawab itu seperti tular di media sosial.

Katanya, dakwaan mengatakan beliau meletak jawatan kerana kegagalan menangani isu Pasir Gudang hanya khabar angin yang tidak sepatutnya dipercayai.

“Pertama itu adalah khabar angin dan kedua, siapa yang menyebarkannya?,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Logo dan Maskot Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 di Senai, dekat Kulai, hari ini.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene pada 14 April lalu.

Beliau yang berusia 43 tahun menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu. Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor.

Semalam, satu akaun Facebook iaitu Ops Johor memuat naik satu hantaran bertajuk ‘MB Johor akan lepaskan jawatan?’ dengan dakwaan kegagalan Dr Sahruddin dalam menguruskan masalah pencemaran di Pasir Gudang selain mendakwa menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:45 PM