MESSI bergambar dengan isteri Antonella Roccuzzo Messi dan dua anak selepas memenangi anugerah pemain terbaik FIFA di Milan, awal pagi tadi. — FOTO AFP
MESSI bergambar dengan isteri Antonella Roccuzzo Messi dan dua anak selepas memenangi anugerah pemain terbaik FIFA di Milan, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Lelaki FIFA ketika pencabarnya Cristiano Ronaldo tidak muncul pada majlis gilang-gemilang di La Scala Opera House, Milan, awal pagi tadi.

Kejayaan penyerang Barcelona itu mengejutkan ketika dia mengatasi Virgil Van Dijk, yang memenangi anugerah pemain UEFA bulan lalu selepas membantu Liverpool merangkul Liga Juara-Juara musim lalu.

Penyerang Juventus, Ronaldo turut disenaraikan bagi anugerah itu, namun tidak menghadiri majlis ketika dia turut dinamakan dalam kesebelasan Dunia FIFA di samping Messi.

Kedua-dua Messi, 32, dan Van Dijk, 28, kini berpeluang memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or yang akan diumumkan pada 2 Disember depan.

MESSI (kiri) menerima trofi daripada Presiden FIFA, Gianni Infantino. — FOTO EPA
MESSI (kiri) menerima trofi daripada Presiden FIFA, Gianni Infantino. — FOTO EPA

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada yang membantu saya meraih pengiktirafan ini,” kata Messi.

“Apa yang paling penting buat saya adalah anugerah secara kolektif, tapi hari ini ia satu malam yang amat istimewa buat saya.”

Ia kali pertama Messi memenangi Anugerah Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 2016. Ronaldo menang pada 2016 dan 2017 manakala pemain Croatia, Luka Modric menewaskan kedua-duanya tahun lalu.

Messi muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim lalu dengan 12 gol sebelum Barcelona disingkirkan Liverpool pada separuh akhir.

MESSI memberi ucapan ringkas selepas ditabal pemenang. — FOTO EPA
MESSI memberi ucapan ringkas selepas ditabal pemenang. — FOTO EPA

Pemain Argentina itu turut memenangi Kasut Emas Eropah selepas menjaringkan 36 gol, kejuaraan La Liga bersama Barcelona dan membantu Argentina meraih pingat gangsa pada Copa America 2019.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH

Pemain terbaik lelaki: Lionel Messi (ARG/Barcelona)

Pemain terbaik wanita: Megan Rapinoe (AS/Reign FC)

Penjaga gol terbaik lelaki: Alisson Becker (BRA/Liverpool)

Penjaga gol terbaik wanita: Sari van Veenendaal (NED/Atletico Madrid)

Kesebelasan Dunia lelaki: Alisson Becker (BRA/Liverpool); Sergio Ramos (ESP/Real Madrid), Virgil Van Dijk (NED/Liverpool), Matthijs De Ligt (NED/Juventus), Marcelo (BRA/Real Madrid); Luka Modric (CRO/Real Madrid), Frenkie De Jong (NED/Barcelona), Eden Hazard (BEL/Real Madrid); Lionel Messi (ARG/FC Barcelona), Kylian Mbappe (FRA/PSG), Cristiano Ronaldo (POR/Juventus)

Kesebelasan Dunia wanita: Sari Van Veenendaal (NED/Atletico Madrid); Lucy Bronze (ENG/Lyon), Wendie Renard (FRA/Lyon), Nilla Fischer (SWE/Linkopings), Kelly O’Hara (AS/Utah Royals); Amandine Henry (FRA/Lyon), Julie Ertz (AS/Chicago), Rose Lavelle (AS/Washington); Marta (BRA/Orlando), Alex Morgan (AS/Orlando), Megan Rapinoe (AS/Reign FC)

Jurulatih lelaki: Juergen Klopp (Liverpool)

Jurulatih wanita: Jill Ellis (Amerika Syarikat)

Gol terbaik Puskas: Daniel Zsori (HUN/Debrecen)

Anugerah Fairplay: Marcelo Bielsa dan Leeds United

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:13 AM