NIDZAM Jamil (kanan) harap pemain dapat beri persembahan terbaik ketika menentang Kedah. -Foto BERNAMA
NIDZAM Jamil (kanan) harap pemain dapat beri persembahan terbaik ketika menentang Kedah. -Foto BERNAMA
Asrol Awang


PENGENDALI FELDA United, Mohd Nidzam Jamil tidak mahu bergantung harap kepada Petaling Jaya City FC (PJ City) membenam PKNP FC pada perlawanan terakhir Liga Super untuk kekal di liga berkenaan musim depan.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu berkata, The Fighters mengekalkan fokus untuk mencari jalan menewaskan Kedah, Ahad ini.

“Peluang masih lagi ada dan saya mengharapkan pemain untuk memberikan persembahan yang terbaik pada perlawanan terakhir liga,” katanya.

Mengulas kekalahan 1-3 kepada Pahang malam tadi, Mohd Nidzam akur dengan keputusan yang tidak memihak kepada skuad kendaliannya itu.

Katanya, secara keseluruhannya, kelab itu hanya boleh bersaing sepanjang tempoh 70 minit sebelum tuan rumah melakukan perubahan taktikal.

“Bagi saya, pasukan ini boleh bersaing dengan Pahang selama 70 minit tetapi ia berubah sebaik Pahang memasukkan Dickson Nwakaeme, Norshahrul Idlan Talaha dan Faisal Halim.

“Kehadiran tiga pemain itu banyak mengubah corak permainan dan saya akur bahawa kami berdepan dengan pasukan kedua terbaik liga.

“Selepas ketinggalan dua gol, kami mempunyai pilihan sama ada terus menyerang atau bertahan, disebabkan memerlukan sekurang-kurangnya satu mata, kami memilih corak menyerang tetapi gagal untuk menyerap asakan lawan.

“Kekalahan ini diharap tidak menyentap semangat pemain kerana perjuangan masih belum berakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:54 AM