GUERRERO (kanan) menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Brazil, Alisson. — FOTO AFP
GUERRERO (kanan) menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Brazil, Alisson. — FOTO AFP
Reuters

JURULATIH Peru, Ricardo Gareca memuji pemainnya kerana mencetus harapan kepada negara selepas mereka tumpas 1-3 di tangan Brazil pada final Copa America awal pagi tadi dan mengesahkan beliau tidak berminat melatih pasukan lain hingga Piala Dunia berikutnya.

Peru bermula hambar pada kejohanan itu selepas dibelasah 5-0 oleh Brazil pada peringkat kumpulan namun mereka melakar kejutan pada peringkat kalah mati, menyingkirkan Uruguay menerusi penentuan penalti sebelum kemenangan mengagumkan 3-0 pada separuh akhir ke atas juara bertahan Copa, Chile.

Mereka memperagakan persembahan dikagumi pada final dan menggembirakan penyokong apabila penalti Paolo Guerrero memadamkan gol pembukaan Everton, namun gol daripada Gabriel Jesus dan Richarlison membolehkan Brazil menang.

Gareca tidak merungut mengenai keputusan itu, menyatakan Brazil “terlalu handal” berbanding Peru.

GARECA (kiri) bersama pemain Peru sugul selepas final. — FOTO Reuters
GARECA (kiri) bersama pemain Peru sugul selepas final. — FOTO Reuters

“Perkara paling penting kami berjaya mengujakan rakyat dan kami tidak boleh berasa kecewa, kami patut berasa lebih kuat,” katanya.

“Kami hadir pada final ini untuk memenangi trofi dan kami berdepan pasukan yang amat efektif. Saya fikir kami di laluan tepat untuk membentuk pasukan yang boleh melonjak dan kekal di sana.”

Pengendali dari Argentina itu berjaya mengubah nasib Peru sepanjang empat tahun terakhir, menamatkan penantian 36 tahun untuk layak ke Piala Dunia 2018 dan mengemudi final pertama Copa America sejak 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 1:39 PM