MARQUINHOS (kanan) tidak mahu Brazil terlalu yakin mengatasi Peru. — FOTO AFP
MARQUINHOS (kanan) tidak mahu Brazil terlalu yakin mengatasi Peru. — FOTO AFP
Reuters

BRAZIL menjulang trofi setiap kali mereka menjadi hos Copa America dan kelihatan akan mengekalkan rekod sempurna itu dengan kejayaan pada kejohanan utama pertama sejak 2007 apabila mereka berdepan Peru pada final, awal pagi Isnin ini.

Hanya kemenangan ditagih negara dengan penduduk paling ramai di Amerika Selatan itu di Maracana dan jika gagal, ia dianggap satu bencana sekali gus boleh menyebabkan jurulatih Tite kehilangan tugasnya.

Di sebalik ketiadaan Neymar kerana cedera menjelang kejohanan, tuan rumah dilihat sebagai pasukan paling kuat dan lengkap dengan 10 jaringan dan tidak dibolosi dalam lima perlawanan.

Laluan mereka meraih kegemilangan semakin mudah apabiila juara bertahan Chile tersingkir pada separuh akhir di tangan Peru, yang dibelasah tuan rumah 5-0 pada peringkat kumpulan dengan persembahan cemerlang dan dianggap sesetengah pemerhati sebagai kembalinya Brazil yang digeruni.

ALVES (kiri) nafi pandang rendah keupayaan Peru. — FOTO Reuters
ALVES (kiri) nafi pandang rendah keupayaan Peru. — FOTO Reuters

Kapten Brazil, Dani Alves dituduh terlalu yakin susulan tulisan ringkasnya dalam Twitter selepas Peru mengejutkan Chile, sekalipun pertahanan kanan itu kemudiannya menafikan dia memandang remeh pasukan kendalian Ricardo Gareca.

Tuan rumah menjadi pilihan utama untuk menundukkan Peru, namun tiada siapa di negara itu perlu diingatkan mengenai Brazil yang tampil pada final Piala Dunia 1950 di Maracana berasa terlalu yakin menjulang trofi itu sebelum akhirnya kecundang di tangan Uruguay.

Pertahanan Brazil, Marquinhos berkata, tiada siapa dalam pasukannya memandang mudah Peru, yang layak ke final Copa America buat kali pertama sejak menang kejuaraan kedua Amerika Selatan itu pada 1975.

Brazil menang lapan kali, termasuk empat kali sebagai tuan rumah.

“Kami sedar dalam bola sepak perkara berubah dengan pantas dan Peru dalam keadaan amat berbeza sekarang dan setiap orang perlu tahu ia memerlukan usaha keras untuk mengalahkan mereka, kerana final hanya satu aksi bukan seperti perlawanan lain,” katanya kepada wartawan.

“Ia memerlukan emosi, taktik dan teknik. Kami perlu menggabungkan faktor ini dan perkara kecil mampu menjadi pemisah dalam perlawanan ini. Pasukan yang membuat kesilapan paling sedikit akan muncul juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 2:50 PM