REAKSI Tite ketika Brazil menentang Chile. FOTO AFP
REAKSI Tite ketika Brazil menentang Chile. FOTO AFP
Agensi

Rio de Janeiro: Ketua jurulatih Brazil Tite tekad mencipta sejarah ketika menentang Peru pada separuh akhir Copa America esok.

Juara bertahan mara ke saingan empat terakhir selepas menewaskan Chile 1-0 walaupun beraksi 10 pemain pada babak kedua selepas Gabriel Jesus dibuang padang susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.

Mereka kini tidak tewas 12 perlawanan dalam semua kejohanan dengan sembilan daripadanya tidak dibolosi manakala Tite belum lagi tewas sejak mengendalikan Selecao.

Jika mereka mara ke final, pengendali berusia 60 tahun itu akan menyamai rekod milik Mario Zagallo sebagai jurulatih paling 'kebal' di Copa America dengan 12 perlawanan tanpa kalah.

Mereka terlebih dahulu perlu menewaskan Peru yang berdepan cabaran sengit Paraguay pada suku akhir. Keputusan berakhir 3-3 selepas tamat masa tambahan dengan kedua-duanya beraksi 10 pemain.

Penentuan penalti akhinya memihak skuad Miguel Trauco untuk Peru layak ke separuh akhir buat kali keempat dalam lima kejohanan.

Ketua jurulatih Ricardo Gareca hanya dua kali menewaskan Brazil dalam sepuluh percubaan dengan pertemuan terakhir pada peringkat kumpulan 2021 dengan kemenangan kepada juara dunia lima kali itu.

Brazil juga tidak tewas dalam aksi Copa America di tempat sendiri sejak 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:55 AM