GAYA Djokovic meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. - FOTO Reuters
GAYA Djokovic meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. - FOTO Reuters
AFP

JUARA empat kali Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga kali ke-11 berturut-turut manakala pemain berusia 15 tahun, Cori Gauff mahu mencipta satu lagi sejarah dalam penyertaannya di Wimbledon, semalam.

Pilihan utama Djokovic meledak 13 ace dan 37 ‘winners’ ketika menewaskan Denis Kudla dari Amerika Syarikat, 6-3, 6-2, 6-2, awal pagi tadi.

"Saya gembira dengan permainan saya malah ada ketikanya saya mampu melakukan dengan lebih baik,” kata juara bertahan itu.

"Tetapi keseluruhannya prestasi mantap. Servis dan hantaran menjadi dan puas mengatasi cabaran lawan.”

Djokovic akan berdepan Hubert Hurkacz untuk slot 16 terakhir. Pemain itu ditewaskannya di pusingan pertama Roland Garros, Mei lalu.

Jika menang bintang Serbia itu mungkin menentang pemain Kanada berusia 18 tahun, Felix Auger-Aliassime yang juga pemain lelaki termuda kejohanan.

Pilihan ke-19 itu mara kali pertama ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain kelayakan dari Perancis, Corentin Moutet 6-3, 4-6, 6-4, 6-2.

Selepas mengejutkan juara lima kali Venus Williams pada pusingan pertama, Cori Gauff yang baharu berusia 15 tahun meneruskan momentumnya apabila menewaskan pemain yang mara ke separuh akhir 2017, Magdalena Rybarikova dari Slovakia, 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:46 AM