TSITSIPAS (kiri) mengalahkan juara empat kali Djokovic pada pertemuan pertama antara kedua-dua pemain berkenaan. FOTO/AFP
TSITSIPAS (kiri) mengalahkan juara empat kali Djokovic pada pertemuan pertama antara kedua-dua pemain berkenaan. FOTO/AFP
AFP

TORONTO: Stefanos Tsitsipas menewaskan juara Wimbledon, Novak Djokovic 6-3, 6-7 (5/7) untuk melangkah mara ke suku akhir Toronto Masters, pagi tadi.

Remaja Greek yang bakal berusia 20 tahun Ahad ini, meneruskan rentak kemenangannya ketika menewaskan pilihan ketujuh Dominic Thiem, sebelum mengalahkan juara empat kali Djokovic pada pertemuan pertama antara kedua-dua pemain berkenaan.

Tsitsipas yang berada di ranking ke-27, menamatkan perlawanan dalam tempoh dua jam untuk mara ke suku akhir Masters 1000 buat kali pertama dalam kariernya. 

Kekalahan itu juga adalah yang keempat dalam 25 perlawanan, manakala Tsitsipas dijadual bertemu sama ada pilihan kedua, Alexander Zverev atau Daniil Medvedev dari Russia. 

Pilihan kelima dari Bulgaria, Grigor Dimitrov memerlukan hampir dua jam setengah untuk mengatasi Frances Tiafoe dari Amerika Syarikat, 7-6 (7/1), 3-6, 7-6 (7/4).

Dia dijadual bertemu naib juara Wimbledon dan pilihan keempat, Kevin Anderson yang menewaskan Ilya Ivashka dari Belarus 7-5, 6-3. 

“Hebat, saya tidak beraksi dalam tempoh empat minggu setengah ini. Saya memasuki gelanggang untuk hanya bermain, maksud saya, itu saja yang saya perlukan,” kata juara Final Jelajah Dunia ATP, Dimitrov.

“Saya tidak memberi tumpuan kepada kemenangan atau kekalahan, hanya mahu bermain tenis yang baik dan memulakan sikap yang betul.”

Dimitrov yang mara ke suku akhir terakhirnya pada April lalu, berkata: “Jelas, saya tidak bermain dengan baik tetapi saya menemui jalan untuk melangkah mara ke perlawanan seterusnya.

“Saya fikir, saya menunjukkan peningkatan. Dalam setiap perpawanan, dengan setiap mata yang saya peroleh, saya berasa lebih yakin, lebih stabil di gelanggang dan semuanya berlangsung seperti diinginkan.”

Pilihan keenam, Marin Cilic meneruskan kemaraannya, menewaskan pilihan ke-11 dari Argentina, Diego chwartzman 6-3, 6-2.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 11:44 AM