ARSENAL berjaya mendapatkan Gabriel Martinelli daripada Ituano Futebol Clube. FOTO Agensi
ARSENAL berjaya mendapatkan Gabriel Martinelli daripada Ituano Futebol Clube. FOTO Agensi
AFP

ARSENAL berjaya mendapatkan penyerang Brazil berusia 18 tahun Gabriel Martinelli daripada Ituano Futebol Clube dengan bayaran yang dirahsiakan, umum kelab London itu hari ini.

Martinelli menjaringkan 10 gol dalam 34 penampilannya bersama kelab berpangkalan di Sao Paulo dan dipanggil menyertai kem latihan bersama skuad senior Brazil sebelum Copa America.

“Ia satu impian sejak saya kecil dan juga impian keluarga untuk saya bermain di Eropah dan bermain bersama pasukan hebat seperti Arsenal. Saya akan rebut peluang ini,” katanya di laman web Arsenal.

Martinelli menjadi pembelian pertama Arsenal musim panas ini dengan bidaan sejumlah £40 juta (RM208.7 juta) dibuat Gunners untuk Wilfried Zaha ditolak Crystal Palace.

Kelab Eagles yang menjual bek kanan Aaron Wan-Bissaka dengan kontrak bernilai sehingga £50 juta (RM260.9 juta) kepada Manchester United awal minggu ini, dipercayai meletakkan Zaha pada nilai £80 juta (RM417.4 juta).

Bagaimanapun abang Zaha merayu kepada Palace untuk melepaskannya untuk kelab yang disokongnya ketika masih kanak-kanak.

Judicael Zaha memberitahu Sky Sports: “Dengan apa yang diberikan Wilfried kepada Crystal Palace untuk membantu mereka kekal di Liga Perdana Inggeris, saya berharap Palace akan bersetuju untuk bekerjasama dengan Arsenal bagi membolehkan Wilfried memenuhi impiannya bermain bola sepak Eropah untuk kelab yang disokongnya sejak kecil.”

Zaha ini menjalani tugasan antarabangsa di Piala Negara Afrika bersama Ivory Coast dan menjaringkan gol untuk membantu mereka menang 4-1 ke atas Namibia semalam untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 11:26 PM