SUAREZ (duduk) kecewa selepas gagal sempurnakan penalti. FOTO/AFP
SUAREZ (duduk) kecewa selepas gagal sempurnakan penalti. FOTO/AFP
Reuters

LUIS Suarez mengalirkan air mata selepas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan Uruguay tersingkir daripada Copa America di tangan Peru awal pagi tadi, apabila juara 15 kali itu tewas 4-5 menerusi penentuan penalti selepas tiga gol dibatalkan dalam perlawanan yang berakhir seri tanpa jaringan.

Suarez mensia-siakan sepakan penalti pertama itu apabila percubaannya melantun di dada penjaga gol Peru Pedro Gallese, untuk melengkapkan malam penuh kecewa buat penjaring terbanyak sepanjang zaman Uruguay itu, yang jaringannya turut dibatalkan kerana ofsaid.

Semua pemain lain menyempurnakan sepakan penalti mereka dan Edison Flores memastikan Peru mara ke kelompok empat terakhir dengan rembatannya melepasi Fernando Muslera.

Suarez yang berusaha untuk kembali cergas selepas menjalanai pembedahan lutut pada Mei bagi membolehkannya menyertai Copa menutup wajahnya dengan jersi dan dipujuk rakan sepasukan selepas gagal pada penentuan sepakan penalti.

“Luis sungguh sedih, dia menamatkan perlawanan dengan kegagalan menjaringkan gol penting tetapi itulah bola sepak dan kehidupan,” kata Edinson Cavani kepada media.

“Ada kalanya anda menang, ada kalanya anda kalah. Kami pernah menang Copa sebelim ini tetapi hari ini kami perlu menerima hakikat yang kami tersingkir.”

Peru berdepan pasukan jiran Chile dalam kelompok empat terakhir, dengan tuan rumah Brazil menentang musuh ketat mereka Argentina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

“Saya amat bangga. Saya tidak terkata apa-apa,” kata penyerang Paolo Guerrero selepas melakukan jaringan penentuan penalti.

“Orang bercakap sebelum ini bahawa Uruguay pasukan pilihan tetapi menjadi pasukan pilihan tidak bermakna apa-apa dalam bola sepak, terutamanya di Amerika Selatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 9:28 AM