TRAUCO meraikan jaringan kemenangan selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir ketika berdepan Paraguay. FOTO EPA
TRAUCO meraikan jaringan kemenangan selepas menyempurnakan sepakan penalti terakhir ketika berdepan Paraguay. FOTO EPA
AFP

Goiania: Peru menumpaskan Paraguay 4-3 menerusi penentuan penalti untuk menempah tiket ke separuh akhir Copa America selepas kedua-dua pasukan terikat pada aksi sebenar 3-3.

Miguel Trauco menjaringkan gol kemenangan buat Peru ketika penentuan penalti dan penjaga gol mereka, Pedro Gallese pula bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan Alberto Espinola.

Ketua pasukan Paraguay, Gustavo Gomez membuka jaringan pada minit ke-11 namun Gianluca Lapadula berjaya meletakkan Peru di depan hasil dua gol pada minit ke-21 dan 40.

Peluang Paraguay dilihat musnah apabila Gomez diperintah keluar padang sebelum rehat namun Junior Alonso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54.

Yoshimar Yotun kembali meletakkan Peru di depan hasil jaringan pada minit ke-80 namun Andre Carillo pula diperintah keluar padang empat minit kemudian menyaksikan mereka juga terpaksa bermain dengan 10 orang.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya buat Gabriel Avalos untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir sebelum aksi diheret sehingga ke penentuan penalti.

Lapadula berkata, mereka sekarang ini sudah bersedia untuk berdepan siapa saja di separuh akhir.

"Sama saja Chile atau Brzil. Kami sudah ke separuh akhir dan kami perlu memikirkan mengenai siapa saja lawan yang akan ditentang," katanya.

Dua lagi aksi suku akhir esok bakal menemukan Argentina dengan Ecuador dan Uruguay berdepan Colombia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 9:24 AM