PEMAIN Colombia meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Copa America selepas menumpaskan Uruguay menerusia penentuan penalti. FOTO EPA
PEMAIN Colombia meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Copa America selepas menumpaskan Uruguay menerusia penentuan penalti. FOTO EPA
AFP

Brasilia: Penjaga gol, David Ospina muncul wira selepas Colombia menumpaskan Uruguay menerusi penentuan penalti di Brasilia sebentar tadi untuk mara ke separuh akhir Copa America.

Ospina menyelamatkan dua sepakan penalti dalam penampilannya ke-112 bersama Colombia, sekali gus mengatasi rekod yang dikongsinya bersama legenda, Carlos Velderrama.

Tidak ada aksi menarik dalam masa sebenar yang berkesudahan tanpa jaringan sebelum ia diteruskan dengan penentuan penalti.

Ospina berjaya menyelamatkan sepakan yang diambil Jose Gimenez dan Matias Vina tatkala Colombia berjaya menyempurnakan kesemua empat penalti.

Ia sangat mengecewakan bintang penyerang Uruguay, Edinson Cavani dan Luis Suarez, yang berjaya menyempurnakan tugasan masing-masing dalam penentuan penalti dan mungkin ia adalah penampilan terakhir di kejohanan berkenaan.

Ia mengambil masa setengah jam untuk menyaksikan pintu gol kedua-dua pasukan terancam dan bermula dengan Duvan Zapata mempunyai ruang meledak jaringan namun percubaannya diselamatkan penjaga gol, Fernando Muslera tatkala penyerang Colombia itu juga berada di kedudukan ofsaid.

Ruang mula menjadi terbuka dan Cavani melakukan satu percubaan yang gagal menepati sasaran, malah dia juga dikesan berada di kedudukan ofsaid.

Kedua-dua, Zapata dan Cavani sering menghadirkan kebimbangan buat pertahanan lawan dan penyerang Colombia itu berjaya mencipta peluang buat Luis Muriel di hujung separuh masa pertama namun percubaan rakan sepasukannya itu juga gagal menepati sasaran.

Pemain Uruguay, Nahitan Nandez hampir memecahkan kebuntuan pada awal babak kedua namun ia berjaya diselamatkan Ospina.

Uruguay dapat menguasai permainan namun percubaan Giorgian de Arrascaeta berjaya diselamatkan Ospina dan sepakan Suarez pula tidak mendatangkan sebarang hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:57 AM