ELAINE (tengah) berkongsi tangga pertama dengan Shelly-Ann pada kejohanan kebangsaan Jamaica. — FOTO Getty Images
ELAINE (tengah) berkongsi tangga pertama dengan Shelly-Ann pada kejohanan kebangsaan Jamaica. — FOTO Getty Images
AFP

ELAINE Thompson dan Shelly-Ann Fraser-Pryce memukau pada kejohanan olahraga kebangsaan Jamaica apabila berkongsi tangga pertama 100 meter final wanita dengan masa 10.73 saat.

Acara pecut seperti dijangka apabila dua pelari wanita itu, yang meraih lapan pingat emas individu Kejohanan Dunia dan Olimpik sesama mereka, melepasi garisan penamat seiring dengan Briana Williams di tangga ketiga dengan 10.94s.

Briana, yang berusia 17 tahun Mac lalu, merakam catatan di bawah 11 saat buat kali pertama dengan rekod baharu remaja kebangsaan.

Elaine berkata, dia bersyukur kerana berjaya bangkit selepas 2018 yang sukar apabila dia terpaksa bertarung dengan beberapa siri kecederaan.

Yohan Blake memenangi 100m final lelaki dengan catatan terbaik musim ini 9.96s mengatasi cabaran Tyquendo Tracey (10.00s). Rasheed Dwyer menyamai rekod terbaik peribadi 10.10s untuk menghuni tangga ketiga.

Rushell Clayton mencatat satu kejutan besar apabila memenangi acara 400m berpagar wanita dengan catatan terbaik karier 54.73s.

Rushell, yang mengungguli sesi kelayakan Khamis lalu, mendahului selepas pagar ketujuh untuk mengatasi pelari lebih berpengalaman yang menyaksikan Shiann Salmon meraih perak dengan masa 55.39s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 1:40 PM