AKHYAR (kanan) diasak pemain Timor Leste, Danilson Conceicao Araujo pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Selasa lalu.
AKHYAR (kanan) diasak pemain Timor Leste, Danilson Conceicao Araujo pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Selasa lalu.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Muhammad Akhyar Rashid bersedia memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad Harimau Malaya dengan memastikan posisi sayap kiri kekal menjadi miliknya selepas ini.

Akhyar, 20, yang menyumbang satu gol ketika membantu pasukan negara menundukkan Timor Leste 5-1 dalam aksi kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Selasa lalu berjaya menampilkan aksi mantap sepanjang 90 minit permainan dengan kelibatnya sukar dikekang pertahanan lawan.

Malah, pada aksi pertama kelayakan turut menyaksikan dia mencetak nama selaku penjaring biarpun hanya masuk sebagai pemain gantian ketika pasukan meraih kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste, sekali gus meraih agregat besar 12-2 untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih dan semua kerana bagi peluang pada saya (mengisi kesebelasan utama). Atas kepercayaan itu, Alhamdulillah saya dapat berikan aksi terbaik. Saya juga sangat terharu sebab semua beri komitmen 100 peratus bagi memastikan kita ke pusingan berikutnya.

“Bagi saya kalau jurulatih sedia nak letak saya (kesebelasan utama), saya dah sedia untuk main,” katanya yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Super.

Sebelum ini, Akhyar sering menjadi ‘watak pembantu’ dalam jentera serangan negara apabila kerap diturunkan sebagai pemain gantian bagi menghidupkan bahagian itu terutama pada babak kedua.

Bagaimanapun, jurulatih Tan Cheng Hoe membuat kejutan pada aksi timbal balik menentang Timor Leste dengan nama pemain kelahiran Kedah itu diletakkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Syazwan Zainon yang direhatkan.

Adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu jelas tidak mensia-siakan peluang keemasan apabila memperagakan aksi terbaik dengan dia turut meledak gol untuk membalas kepercayaan Cheng Hoe.

Katanya, Cheng Hoe sentiasa berpesan kepadanya supaya mengekalkan prestasi dan cuba merebut tempat dalam pasukan JDT.

“Jurulatih banyak kali pesan pada saya untuk perlawanan akan datang selalu cukup rehat, kekalkan kecergasan dan pamerkan aksi terbaik sama ada bersama skuad negara atau JDT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 8:00 AM