Farizal kata moral skuad negara berada pada tahap terbaik. FOTO NSTP
Farizal kata moral skuad negara berada pada tahap terbaik. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


KETUA pasukan negara, Farizal Marlias menegaskan moral skuad Harimau Malaya kini berada di tahap tertinggi untuk menghadapi aksi timbal balik pusingan pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat dan Selasa ini.

Menurut penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi persahabatan di Bukit Jalil, kelmarin berjaya menaikkan motivasi pemain yang wajib melakar menumbangkan Timor Leste untuk meraih slot ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Malah katanya, keputusan baik mampu diperoleh jika pemain memberikan 100 peratus dalam persiapan menghadapi aksi itu nanti.

“Saya percaya sekiranya kami memberikan 100 dalam persiapan ini, InsyaAllah kami berjaya memperoleh keputusan terbaik.

“Bagi saya, semua pemain pastinya mahukan kemenangan serta mahukan Malaysia layak, begitu juga saya.

Apa yang penting, pasukan kena mengekalkan fokus untuk meningkatkan prestasi ketika bertemu Timor Leste nanti," katanya.

Farizal, 32, yang dilantik sebagai ketua pasukan bagi menggantikan Zaquan Adha Abd Razak yang tidak disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe kali ini mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Timor Leste yang turut mengidamkan kemaraan ke pusingan berikutnya.

“Apa yang penting adalah taktikal, cara dan persembahan kami dalam perlawanan itu.

Jika kami bermain mengikut apa telah dirancangkan jurulatih ketika sesi latihan, InsyaAllah kami akan dapat atasi mereka,” kata bekas pemain Selangor dan Perak itu.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu empat kali sejak 2015, menyaksikan Malaysia menang tiga daripada empat pertemuan itu dengan satu lagi aksi berkesudahan seri.

Malaysia, kini berada di ranking 168 dunia, perlu menang perlawanan playoff untuk mara ke pusingan kedua kelayakan itu.

Enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan terbaik Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 2:50 PM