SON (kanan) melepasi pertahanan China. FOTO/AFP
SON (kanan) melepasi pertahanan China. FOTO/AFP
AFP

ABU DHABI: Penyerang prolifik Korea Selatan dan Tottenham, Son Heung-min menjadi nadi kemenangan 2-0 pasukannya ke atas China malam tadi untuk menduduki tangga teratas kumpulan dalam saingan Piala Asia.

Iran yang juga pasukan pilihan turut mara selepas muncul juara kumpulan walaupun seri tanpa jaringan menentang musuh ketat, Iraq manakala Kyrgyzstan yang beraksi kali pertama di kejohanan itu turut mara.

Hwang Ui-jo dan Kim Min-jae menjaringkan gol buat Korea dalam perlawanan yang berlangsung di Abu Dhabi itu.

Hwang menjaringkan sepakan penalti selepas Son dijatuhkan pertahanan lawan dan sepakan sudut Son ditanduk masuk oleh Kim bagi membolehkan Korea mengetuai Kumpulan C dengan sembilan mata penuh dalam misi menamatkan kemarau 59 tahun kejuaraan Piala Asia.

"Sudah tentu saya letih, saya tak jangka bermain dalam tempoh lama,” kata kapten Korea, Son walaupun dia dikerah Spurs dengan mengharungi 13 perlawanan sejak permulaan Disember lalu, termasuk ketika tewas kepada Manchester United 0-1 dalam aksi terakhir.

"Tetapi ini satu penghormatan memakai jersi merah dan menjadi kebanggaan beraksi untuk pasukan negara. Aksi pertama saya dalam kejohanan ini, 2-0 tanpa bolos, cukup menggembirakan!”

Sebelum ketibaan Son, Korea mencatat kemenangan kurang meyakinkan menewaskan Filipina dan Kyrgyzstan masing-masing dengan keputusan 1-0.

Korea yang terkenal dengan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia 2002 gagal untuk memenangi Piala Asia sejak menjuarainya sebanyak dua kali berturut-turut pada 1956 dan 1960.

SON meraikan kejayaan selepas Korea Selatan selesa menewaskan China 2-0. FOTO/AFP
SON meraikan kejayaan selepas Korea Selatan selesa menewaskan China 2-0. FOTO/AFP

Skuad China kendalian Marcello Lippi muncul naib juara kumpulan turut mengesahkan tempat ke peringkat 16 terakhir selepas menang dua perlawanan pertama mereka dengan menewaskan Kyrgyzstan 2-1 dan Filipina 3-0. Bagaimanapun mereka jelas sukar menandingi Korea.

“Secara jujurnya Korea lebih kuat. Mereka lebih laju, teknikal mereka lebih hebat dan beraksi dalam tempo tinggi,” kata Lippi yang skuadnya akan menentang Thailand di peringkat seterusnya.

"Kami perlu menerima hakikat itu dan fokus perlawanan seterusnya.”

Iran yang memburu kejuaraan dalam tempoh 43 tahun gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan di Dubai tetapi masih mampu muncul juara Kumpulan D berdasarkan perbezaan jaringan dengan Iraq selepas membelasah Yaman 5-0 dan Vietnam 2-0.

Dalam perlawanan lain, jaringan hatrik Vitalij Lux menyingkirkan anak buah Sven-Goran Eriksson 3-1 dan Kyrgyzstan mara dari Kumpulan C sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.

Stephan Schrock menjaringkan gol buat Filipina pada minit akhir perlawanan, gol pertama mereka dalam sejarah Piala Asia dan disambut dengan meriah oleh penyokong.

Vietnam pula mengatasi cabaran Yaman 2-0 hasil jaringan sepakan percuma menarik Nguyen Quang Hai dan penalti Que Ngoc Hai sekali gus menghidupkan sisa peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 10:28 AM