Jasmir masih menunggu. FOTO NSTP
Jasmir masih menunggu. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


BEKAS penyerang Terengganu City FC (TCFC) dan Perlis, Jasmir Mehat masih menanti penuh sabar isu tunggakan gajinya yang masih belum selesai.

Justeru, dia mengharapkan tunggakan berkenaan bakal dibayar pada bulan Syawal ini termasuk dua bulan bersama TCFC dan tiga bulan bersama Perlis.

"Sayu sambut Syawal dengan tunggakan (gaji) yang belum selesai, terutama untuk menampung pebelanjaan raya ini.

Apa yang saya harapkan tunggakan ini dijelaskan semasa Ramadan lalu, namun sehingga kini masih belum menjadi kenyataan.

"Semoga sebelum akhir Syawal ini isu tunggakan berkenaan dapat diselesaikan. Sehingga kini saya seolah-olah masih menanti bagai buah yang tidak gugur," katanya sayu.

Menurutnya, dia masih yakin campur tangan dan peranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bekas majikannya untuk menyelesaikan perkara berkenaan akan menuju jalan positif.

Apapun persiapan Aidilfitri yang sedikit terubat berikutan selepas melalui detik sedih berikutan terpalit isu tunggakan gaji bersama pasukan terdahulu, dia kini menyertai Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Liga M3 dan memperolehi sumber pendapatan dengan skuad terbabit.

Berikutan itu, fokusnya kini terarah membantu kecemerlangan SAMB dalam liga berkenaan dalam masa mahu memberikan yang terbaik buat skuad berkenaan.

Dalam masa sama dia juga berazam meraih tempat dalam skuad Liga Super dan Perdana musim depan, namun yang lebih utama kini mencurah khidmat untuk SAMB yang kini menduduki tangga ke-10 liga.

Sebelum ini, Jasmir bersama tiga pemain Singa Utara iaitu Mohamad Fakhrullah Rosli, Mohd Yusri Abas dan Muhammad Sabri Adam kembali ke Melaka untuk menyertai SAMB selepas pembatalan penyertaan Perlis di Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 4:55 PM