PELUANG Khairul Hafiz dilihat samar selepas prestasi mengejutkan pelari Indonesia, Muhammad Zohri dalam saingan Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun. Gambar kecil: Datuk Karim Ibrahim. FOTO Asyraf Hamzah dan Aswadi Alias
PELUANG Khairul Hafiz dilihat samar selepas prestasi mengejutkan pelari Indonesia, Muhammad Zohri dalam saingan Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun. Gambar kecil: Datuk Karim Ibrahim. FOTO Asyraf Hamzah dan Aswadi Alias
Azlan Muhammad Zain


PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim membidas jurulatih Mohd Poad Md Kassim berhubung peluang anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan mempertahankan emas 100 meter di Sukan SEA Filipina.

“Poad sudah menyerah kalah...tidak dapat mempertahankan emas. Saya ada melihat kenyataannya di media mengenai perkara ini.

“Ia sesuatu yang tidak baik dari segi etika sebagai seorang jurulatih. Ia menjatuhkan semangat atlet bimbingannya. Mungkin perkara berkenaan betul namun tidak bagus sebagai etika. Kita perlu lawan habis-habisan,” jelas Karim selepas mesyuarat kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung lebih tiga jam.

Peluang Khairul Hafiz dilihat samar selepas prestasi mengejutkan pelari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri melakukan catatan 10.03s dalam saingan Seiko Golden Grand Prix 2019 di Osaka, Jepun.

“Saya minta semua jurulatih agar melepaskan atlet mereka...atlet bukan milik Poad, bukan milik Karim atau MSN,” tambahnya.

The Speedy Jantan masih belum menyertai sebarang pertandingan pada tahun ini susulan baru pulih daripada kecederaan lutut dan betis kanan.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pelari pecut berkenaan akan kekal di Malaysia buat sementara waktu.

“Dia masih pada peringkat menyesuaikan diri dari aspek teknik. Kami perlu tunggu sehingga Kejohanan Kebangsaan pada Ogos bagi membentuk dan kembangkan program.

“Pada masa yang sama kami menunggu penyelarasan dari Naib Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar yang dipertanggungjawab mengkoordinasi semua program dari jurulatih,” katanya.

Pada masa yang sama MSN dan KOM kini berada di peringkat cadangan untuk melantik ketua jurulatih pecut dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:08 PM