FATEHAH gagal layak ke suku akhir acara pecut individu.
FATEHAH gagal layak ke suku akhir acara pecut individu.
Azlan Muhammad Zain

RATU trek negara, Fatehah Mustapa terus tenggelam dalam acara pecut individu Kejohanan Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 di Kaohsiung, sebentar tadi.

Selepas tersingkir awal dalam acara keirin semalam, dia gagal menempatkan diri dalam kalangan lapan pelumba terpantas bagi menempah tiket ke suku akhir acara pecut individu.

Pada pusingan kelayakan, Fatehah sekadar mencatatkan 12.310 saat memaksanya tersisih awal dengan dua pelumba Sime Darby Foundation, Anis Amira Rosidi (12.021s) dan Farina Shawati Mohd Adnan (12.214s) masing-masing berada pada kedudukan keempat dan keenam.

KHAIRIL terkandas di separuh akhir acara keirin.
KHAIRIL terkandas di separuh akhir acara keirin.

Situasi berkenaan menimbulkan persoalan terhadap kemampuannya sejak kebelakangan ini termasuk digugurkan dari Sukan Asia 2018 serta diarahkan menjalani latihan dalam negara.

Harapan disandarkan kepada pelumba negara, Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Muhammad Shariz Effendi Mohd Sharin dalam acara keirin turut tidak kesampaian apabila kedua-duanya terkandas di separuh akhir.

Pada hari pertama semalam, Anis Amira cemerlang meraih dua emas apabila memenangi acara keirin selain pecut berpasukan bergandingan bersama Farina Shawati.

Siri pertama kejohanan berakhir petang ini dengan siri kedua berlangsung esok dengan sejumlah acara dipertandingkan seperti keirin, pecut individu, ujian masa dan madison.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:52 PM