STADIUM Al Janoub berbentuk bot tradisional nelayan Qatar. — FOTO FIFA
STADIUM Al Janoub berbentuk bot tradisional nelayan Qatar. — FOTO FIFA
AFP

TUAN rumah Piala Dunia 2022, Qatar berjaya menyiapkan dan menguji sebuah stadium bola sepak paling canggih seumpamanya berkapasiti 40,000 yang akan digunakan bagi pusingan akhir tiga tahun lagi.

Stadium bernilai AS$575 juta (RM2.3 bilion) itu direka arkitek wanita tersohor kelahiran Iraq, Zaha Hadid, dibina di pinggir laut di selatan bandaraya Doha dan digunakan bagi final Piala Emir antara Al-Sadd dan Al-Duhail, awal pagi tadi.

“Saya sudah memasuki banyak stadium berbeza seluruh dunia termasuk di Britain,” kata Yousef al-Jaber, 35, yang juga pengarah penyelidikan syarikat minyak dari Doha.

“Akhirnya saya dapat melangkah ke stadium bertaraf dunia,” kata peminat Chelsea itu yang menyaksikan final itu bersama isteri dan dua anak lelakinya.

SUASANA dalam stadium ketika final Piala Emir. — FOTO FIFA
SUASANA dalam stadium ketika final Piala Emir. — FOTO FIFA

“Stadium ini berbeza, reka bentuknya mendahului zaman. Al-Wakrah sebuah bandar raya pesisir pantai, ia mengambil ilham daripadanya.”

Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dalam Twitter menjelang aksi final itu bercadang menamakannya sebagai ‘Stadium Al Janoub’ yang bermaksud ‘Stadium Selatan’.

Rekaannya mirip bot tradisional nelayan Qatar yang dikenali ‘dhow’ dengan bumbungnya menggunakan 1,400 bahan khas berkilauan seperti mutiara dibawa dari Itali.

Bekas pemain kebangsaan Belanda, Ruud Gullit yang hadir sebagai tetamu memujinya dan menganggap stadium itu binaan yang cantik.

“Anda pergi ke atas padangnya dan anda pasti teringin bermain bola sepak di sini, rekaan amat menakjubkan dan sudah tentu ia dilengkapi dengan pendingin hawa,” kata bekas kapten yang membantu Belanda muncul juara Euro 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 8:32 AM