Penyokong Argentina yang memakai jersi tertera nama dan nombor Loinel Messi berada di Doha. FOTO Reuters
Penyokong Argentina yang memakai jersi tertera nama dan nombor Loinel Messi berada di Doha. FOTO Reuters
AFP

Doha: Penyokong Argentina mengadakan demonstrasi di perkarangan hotel Doha untuk menuntut persekutuan bola sepak kebangsaan negara mereka membantu mendapatkan tiket final Piala Dunia.

Menjelang perlawanan menentang juara bertahan Perancis pada Ahad, penyokong berkata tiket paling murah dijual di pasaran gelap dengan harga lebih daripada AS$4,000 (RM17,698).

Sekumpulan peminat berkumpul di luar sebuah hotel di Doha berhampiran pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).

Pada malam Khamis berlaku pertengkaran bersama pegawai di luar perkarangan hotel. Segelintir peminat membawa sepanduk tertulis "AFA berikan kami tiket".

Persatuan bola sepak itu akhirnya bersetuju mengadakan perbincangan bersama wakil penyokong mereka.

Setiap negara yang layak ke suku akhir diberikan tambahan peruntukan tiket bagi perlawanan membabitkan pasukan mereka.

Namun dengan lebih ramai penyokong dijangka tiba dari Argentina dan Perancis untuk perlawanan itu, tiada pengumuman khas dibuat sama ada tambahan tiket akan disediakan.

Stadium Lusail mampu memuatkan 88,900 kapasiti penonton tetapi lebih daripada 30,000 peminat Argentina dilaporkan berada di Qatar.

Ramai yang berada di negara teluk itu untuk menyaksikan peluang terakhir Lionel Messi memenangi kejuaraan Piala Dunia.

Rundingan membabitkan penjualan tiket turut dijalankan menerusi pelbagai platform termasuk kumpulan WhatsApp.

Beberapa peminat Argentina mendakwa mendapat tawaran lebih daripada AS$4,000 untuk tiket final dengan harga sebenar sekitar AS$750 (RM3,318).

Antara harga tiket paling mahal, yang dimaklumkan FIFA mencecah sehingga AS$5,850 (RM25,883), ditawarkan lebih daripada AS$14,000 (RM61,943).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 10:50 PM