HANIS (kanan) makin serasi jalani latihan seawal jam 3 pagi.
HANIS (kanan) makin serasi jalani latihan seawal jam 3 pagi.
Saiful Affendy Sapran


"MUNGKIN perit berlatih jam 3 pagi, tetapi ia akan menjadi kenangan tak akan dilupakan di kemudian hari."

Itu pengakuan penyerang skuad hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn yang mengakui sudah semakin serasi berlatih seawal jam 3 pagi untuk persiapan ke Pusingan Akhir Siri FIH di Bandbridge, Ireland Jun depan.

Jelas penyerang yang bakal berusia 23 tahun Disember depan, pada awalnya tidak dinafikan sukar untuknya serta rakan-rakan bangun seawal jam 2 pagi bagi melakukan persediaan menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

"Kami perlu mengubah rutin setiap hari dengan cuba tidur selepas waktu Isyak dan kemudian bangun jam 2 pagi. Inilah pengorbanan yang akan kami ingati sampai bila-bila.

"Malah apabila turun beraksi pada perlawanan sebenar nanti, kenangan itu akan meningkatkan semangat kami," katanya yang pernah merasai pengalaman sama ketika melakukan persiapan untuk kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium dua tahun lalu.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah terpaksa mengubah jadual latihan skuad hoki wanita negara kepada jam 3 pagi yang kemudian disusuli jam 9 malam keesokannya sepanjang Ramadan untuk membolehkan anak buahnya memperoleh sesi latihan mencukupi serta kompetitif.

Sementara itu, Hanis berkata, keputusan Dhaarma memulakan latihan jam 3 pagi juga dapat mengeratkan hubungan antaranya serta rakan sepasukan lain.

"Kami melalui keperitan bersama, berlatih bersama dan kemudian bersahur sama-sama. Kami sudah pilih jalan ini (menjadi atlet) dan itu bermakna segala-segalanya harus ditolak tepi untuk sementara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:20 PM