Jonas Folger pelumba gantian PETRONAS Sprinta Racing.
Jonas Folger pelumba gantian PETRONAS Sprinta Racing.
Saiful Affendy Sapran


JONAS Folger akan menjadi pelumba gantian PETRONAS Sprinta Racing untuk tiga pusingan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) berikutnya menggantikan pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami di Grand Prix (GP) Sepanyol.

Pelumba berusia 25 tahun dari Jerman itu akan beraksi pada GP Catalunya, Belanda dan tempat asalnya, Sachsenring.

Folger menggantikan Mattia Pasini yang turut menggalas tugas pelumba gantian dan sempat beraksi dalam dua pusingan tetapi mengalami kecederaan tulang selangka ketika sesi latihan selepas GP Itali.

Folger mempunyai rekod cemerlang apabila berjaya memenangi lima perlumbaan dan menaiki 24 podium termasuk tiga kemenangan dalam saingan Moto2.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razlali mengakui teruja dapat menggunakan khidmat Folger.

"Ia adalah peluang terbaik kami dapat menjalinkan kerjasama dengan pelumba berkaliber seperti Folger untuk tiga pusingan Moto2 seterusnya.

"Dia bakal memberi elemen tambahan kepada pasukan. Kami mahu pasukan menjadi sekuat mungkin sebelum Khairul Idham kembali kerana dia memiliki potensi terbaik untuk seorang pelumba Malaysia dalam saingan Moto2.

"Kami sentiasa berhubung rapat dengan Khairul Idham bagi memastikan dia dapat kembali beraksi pada masa yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Folger jelas tidak sabar untuk kembali membuat kemunculan dalam saingan berpestij itu selepas kali terakhir beraksi dalam kelas MotoGP di GP Aragon 2017.

"Saya mempunyai memori yang positif di Barcelona di mana saya menamatkan saingan di pentas podium dan melakukan beberapa catatan sepusingan terpantas di sana sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:25 PM