Razlan bersama pasukan meraikan kejayaan McPhee. FOTO PSR
Razlan bersama pasukan meraikan kejayaan McPhee. FOTO PSR
Saiful Affendy Sapran


“KAMI mendapatkannya pada musim sejuk lalu kerana tahu dia mampu memberikan kemenangan kepada pasukan."

Demikian reaksi Prinsipal PETRONAS SRT, Datuk Razlan Razali berhubung kejayaan John McPhee yang memenangi perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Perancis bersama jentera PETRONAS Sprinta Racing.

Jelas Razlan, ia adalah kejayaan yang paling dinanti-nantikan olehnya sejak mengetuai pasukan bermula 2015 yang sebelum ini dikenali sebagai SIC Racing Team.

"Saya harap dia dapat mengekalkan momentum ini pada pusingan seterusnya manakala Ayumu Sasaki perlu menganalisa prestasinya di sini bagi membolehkannya meraih keputusan lebih baik pada pusingan seterusnya di Mugello," katanya.

Razlan turut berpuas hati dengan pencapaian kedua-dua pelumba MotoGP, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh dan lapan.

"Ia adalah penamat yang sangat bagus kerana mereka berada di kedudukan 10 terbaik. Mereka berdua jelas mempunyai potensi yang besar," katanya.

Sementara itu, Mattia Pasini yang menggantikan Khairul Idham Pawi berikutan kecederaan tangannya, gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di pusingan kedua saingan Moto2.

"Paling penting adalah dia tidak mengalami kecederan serius," kata Razlan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:52 PM