Hafizh letak syarat mahu jentera kompetitif. FOTO NSTP
Hafizh letak syarat mahu jentera kompetitif. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan perbincangan sedang dilakukan bersama dua atau tiga pasukan Moto2 untuk meneruskan kariernya pada Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.

Kontraknya bersama Red Bull KTM Tech 3 berakhir hujung musim ini.

Pelumba mendapat gelaran Pescao itu bagaimanapun meletakkan syarat pasukan bakal diwakili musim depan perlu kompetitif.

"Sudah tentu saya sudah tidak ada tempat di MotoGP.

"Tapi saya mahu kekal di kejohanan ini, mahu bersama pasukan yang bagus dan menunjukkan potensi saya apabila kembali ke Moto2.

"Pada 2017 agak baik tetapi saya mahu meraih keputusan lebih baik jika kembali semula ke Moto2," katanya dipetik dalam laman web crash.net, hari ini.

Hafizh menduduki tempat ke-10 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 106 mata termasuk podium ketiga di GP Jepun pada 2017 yang menjadi tahun terakhirnya sebelum berhijrah ke MotoGP tahun lalu.

Sementara itu Hafizh berkata, ada kemungkinan untuknya menyertai pasukan Tec 3 di saingan Moto2 dengan PETRONAS SRT menjadi satu lagi pilihan.

"Saya ada bercakap dengan Herve Poncharal (Prinsipal KTM Tech 3) dan Datuk Razlan Razali (Prinsipal PETRONAS SRT).

"Setakat ini sukar untuk menjelaskan segala-galanya. Saya perlu menunggu perlumbaan minggu ini dan pusingan seterusnya (GP Austria) sama ada bersama Razlan, Tech3 atau satu pasukan Moto2 lain," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan Razlan serta PETRONAS berhubung masa depan Hafizh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:49 PM