RORY MCILROY
RORY MCILROY
AFP

KEHADIRAN Rory McIlroy di lapangan Quail Hollow untuk menyertai Kejohanan Wells Fargo akan memberi peluang kepadanya untuk melunaskan dendam di AS Masters bulan lalu.

Wells Fargo menjadi medan terbaik buat McIlroy untuk melupakan aksi tidak menentu apabila sekadar berkongsi tempat kelima di Lapangan Kebangsaan Augusta selain mahu melengkapkan grand slam di sepanjang kariernya.

Pemain Ireland Utara berusia 28 tahun itu menjulang kejayaan pertama Jelajah PGA di Quail Hollow pada 2010 dan menamatkan saingan di kelompok 10 teratas dalam enam daripada lapan penampilannya di venue berkenaan termasuk kejayaan muncul juara buat kali kedua pada 2015.

“Memang seronok dapat kembali ke lapangan yang pernah menjadi saksi kejayaan anda. Saya mempunyai kenangan manis di sini dan saya bernasib baik apabila minggu ini adalah antara minggu terbaik saya,” kata McIlroy.

“Saya sentiasa sukakan lapangan ini walaupun ia bukan mudah. Sejak 2010 hinggalah sekarang.”

McIlroy yang muncul juara dua kali di Wells Fargo, akan memulakan saingan pada hari pembukaan bersama Paul Casey dan James Hahn.

Juara empat kejohanan utama itu berkata, lapangan Quail Hollow sesuai dengan corak permainannya selain boleh menerapkan pelbagai jenis pukulan.

“Saya pernah bermain baik di sini dan ia antara lapangan yang sesuai dengan saya. Saya sering dapat mempamer keupayaan sebenar di sini dan ia jarang mengecewakan,” kata McIlroy.

“Justeru, saya harap minggu ini akan menjadi satu lagi minggu yang baik buat saya dan bakal menjadi permulaan kepada rentetan kejayaan yang mahu saya buru musim ini.”

McIlroy memulakan pusingan akhir di Masters di kedudukan kedua dan ketinggalan tiga pukulan berbanding juara, Patrick Reed tetapi beberapa siri pukulan yang buruk menyaksikan dia menamatkan saingan dengan enam pukulan di belakang.

Sejak kegagalan itu, McIlroy mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri dan hanya mula berlatih sejak kira-kira 10 hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:59 AM