BECHLER (dua dari kanan) sertai skuad  Harimau Selatan, Rabu lalu. FOTO JOHOR Southern Tigers
BECHLER (dua dari kanan) sertai skuad Harimau Selatan, Rabu lalu. FOTO JOHOR Southern Tigers
Syazwan Msar

MISI pertama membawa pemain kacukan dan naturalisasi untuk jangka pendek hampir selesai dan kini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkira-kira pula membawa bakat baharu yang lain bagi memperkuatkan lagi barisan skuad kebangsaan pada masa depan.

Ketika ini, ada sekurang-kurangnya lapan pemain kacukan dalam radar FAM yang beraksi bersama pasukan tertentu di Eropah antaranya di United Kingdom, Jerman dan Belanda untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya bagi tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Malah, terdapat dua pemain yang kini beraksi di Liga Super kemungkinan disenaraikan sebagai pemain naturalisasi jika mereka memenuhi kriteria ditetapkan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Arena Metro difahamkan, antara lapan pemain kacukan terbabit kemungkinan penjaga gol Johor Darul Ta’zim III, Julian Bechler, Hong Wan yang kini beraksi bersama akademi Wolverhampton Wanderers dan pemain Central Coast Mariners B-21 di Australia.

HONG Wan. FOTO Wolves Academy
HONG Wan. FOTO Wolves Academy

Selain itu, pemain import PKNS, Romel Oswaldo Morales pula sebelum ini menyatakan kesanggupan menunggu tiga tahun bagi memenuhi syarat ditetapkan seterusnya bersedia berkhidmat bagi skuad Harimau Malaya jika dipanggil berbuat demikian.

Perkara itu disahkan Setiausha Agung FAM Stuart Ramalingam sambil memberitahu, pihaknya mahu melakukan pemerhatian secara lebih teliti lagi ‘ubi baharu’ itu yang dilihat berpotensi menyarung jersi kebangsaan.

Beliau berkata, FAM tidak terburu-buru untuk mengambil mereka sebagai pemain kacukan dan naturalisasi kerana mahu memantau perkembangan dan kebolehan sebelum mengambil keputusan terbabit.

ROMEL Oswaldo Morales. FOTO Hairul Anuar Rahim
ROMEL Oswaldo Morales. FOTO Hairul Anuar Rahim

“Saya boleh sahkan memang ada beberapa pemain berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun di luar negara yang boleh diserap sebagai pemain naturalisasi untuk jangka masa dua atau tiga tahun lagi.

“Sekarang ini, kita tidak terburu-buru kerana mahu pastikan kehadiran pemain ini mampu memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan. Berkaitan pemain naturalisasi pula, ada dua pemain yang dilihat berpotensi diserap dalam skuad kebangsaan, namun pada masa ini mereka masih lagi tidak memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya,ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan, skuad Harimau Malaya bakal tampil lebih ampuh pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 September depan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia meluluskan permohonan masing-masing dua pemain muda berdarah kacukan Malaysia dan naturalisasi dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:01 AM