AHMAD Faedzal. - Foto Rosela Ismail
AHMAD Faedzal. - Foto Rosela Ismail
Azlan Muhammad Zain


TIMBALAN ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli menaruh harapan pencapaian terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur mampu dipadam hujung tahun ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) itu, ia adalah sasaran peribadinya bagi mengatasi pencapaian terbaik Malaysia di Sukan SEA Korat pada 2007.

“Secara peribadi, ia menjadi sasaran namun saya memerlukan perbincangan lanjut dengan semua pihak bagi sasaran sebenar kontinjen negara,” jelasnya.

Pada edisi 2007, kontinjen negara meraih 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa dari 19 jenis sukan yang disertai sekali gus berada di kedudukan kedua di belakang tuan rumah, Thailand.

Ahmad Faedzal diumumkan sebagai salah seorang timbalan ketua kontinjen negara sebagai wakil dari pihak kerajaan dengan seorang lagi akan diputuskan Majlis Olimpik Malaysia bagi membantu Datuk Megat Zulkarnaian Omardin sebagai ketua kontinjen.

Secara keseluruhan Filipina yang menjadi tuan rumah edisi ke-30 akan mempertandingkan 56 jenis sukan membabitkan 529 acara dengan Malaysia sudah memuktamadkan untuk menyertai 51 jenis sukan.

“Ia satu cabaran untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar kerana difahamkan terdapat empat kluster (Manila, Clark, Subic dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay), jadi fokus kepada prospek pingat dan sukan lain diperlukan.

“Saya sedia menyahut cabaran. Sebagai CEO ISN, perkhidmatan sains sukan dan perubatan akan disediakan sebagai mungkin bagi membantu kontinjen negara. Ia mampu memberikan kelebihan tertentu seperti aspek psikologi, pemakanan dan sebagainya,” katanya.

Edisi ke-30 Sukan SEA dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:47 PM