Mane pemain bolasepak dermawan. FOTO REUTERS
Mane pemain bolasepak dermawan. FOTO REUTERS
Twitter/Esme Jo

SADIO Mane bukan sekadar hebat beraksi selaku penyerang di padang bolasepak malah turut dikenali sebagai insan yang dermawan.

Biarpun sudah mencapai tahap superstar namun pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool itu tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial terhadap penduduk kampungnya, Bambali, selatan Senegal.

Sikapnya itu dilihat apabila menyumbang wang tunai sebanyak 50,000 CFA francs (RM352) kepada setiap keluarga di kampungnya itu, baru-baru ini.

Dengan pendapatan £90,000 (RM480,000) seminggu atau RM1.9 juta sebulan, penyerang Senegal pemurah itu begitu dekat di hati mereka.

Mane, 26 sebelum ini menyumbang sebanyak £200,000 (RM1 juta) untuk membina sekolah menengah di kawasan dia membesar yang terkenal sebagai bandar perikanan.

Itu tidak termasuk sumbangan lain diberikan untuk membina hospital serta stadium dan membiayai perubatan.

Malah, dia sebelum ini juga menyumbang ratusan jersi kepada kanak-kanak di Malawi.

Apa dilakukan olehnya adalah demi keselesaan serta manfaat pendidikan untuk jangka panjang kepada mereka yang banyak memberi dorongan kepadanya sehingga mencapai tahap sekarang.

Apapun mengenainya dan dalam diam itulah yang dilakukan oleh Mane.

Apa diharapkan adalah semoga sikap pemurahnya itu serta permainannya dalam dunia sukan paling popular dunia itu kekal konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 8:57 PM