MANE mahu penduduk kampung halamannya memberi sokongan padu kepada Liverpool. FOTO/AFP
MANE mahu penduduk kampung halamannya memberi sokongan padu kepada Liverpool. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Sadio Mane mengagihkan 300 jersi Liverpool di kampung halamannya di Senegal bagi membolehkan penyokong memakainya ketika aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, esok.

Penyerang Liverpool - sebahagian penggempur di bahagian depan bersama Mohamed Salah dan Roberto Firmino - menjangkakan kampungnya Bambali yang mempunyai jumlah penduduk kira-kira 2,000 orang memberi sokongan dan menyaksikan dia beraksi di final.

Pada 2005, ketika Mane berusia 13 tahun, dia turut menyaksikan situasi sama ketika penduduk keluar menyaksikan kemenangan Liverpool ke atas AC Milan dalam Liga Juara-Juara dan kini pemain yang sudah berusia 26 tahun itu berharap dapat mengembalikan nostalgia berkenaan.

“Sekiranya anda perlu berkata saya mungkin bermain di final, saya harus mengatakan ia sesuatu yang menakjubkan dalam hidup saya. Harap kami dapat meraih kemenangan,” katanya.

“Keluarga saya masih menetap di sana. Ibu dan bapa saudara saya. Mereka semua akan menonton. Terdapat 2,000 penduduk di kampung. Saya membeli 300 jersi Liverpool untuk dihantar kepada mereka di kampung, jadi penyokong boleh memakainya ketika menonton final nanti.”

Memori Mane masih segar dengan final 2005, ketika Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-3 sebelum menewaskan Milan.

“Saya masih ingat perlawanan AC Milan menentang Liverpool. Ketinggalan 0-3 kemudian 3-3 dan penalti. Ia satu memori indah buat saya,” kata Mane.

“Saya menyaksikan perlawanan itu di kampung saya. Saya tidak menyokong Liverpool ketika itu. Saya penyokong Barcelona.

“Saya masih ingat ketika itu bersama kawan-kawan, kawan rapat saya dan ketika ketinggalan 0-3, dia seperti sudah pun berakhir.

“Dia berhenti menonton dan berlari seperti orang gila. Dia kemudiannya datang semula pada akhir permainan dan dia langsung tidak dapat mempercayainya.”

Mane juga mengingati rakannya itu menjelang final di Kiev.

“Dia penyokong tegar Liverpool. Dia masih berada di Senegal. Dia meminta saya supaya tidak ketinggalan 0-3,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 9:59 PM