Agensi

Dakar: Penyerang Liverpool, Sadio Mane mendermakan £500,000 (RM2.89 juta) bagi membantu pembinaan hospital di tempat kelahirannya Bambali.

Perkampungan terpencil di Senegal itu tidak pernah mempunyai kemudahan perubatan sebelum ini. Malah bapanya meninggal dunia selepas tidak sempat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut susulan komplikasi dalam perut ketika Mane berusia tujuh tahun.

Sebelum ini pemain berusia 29 tahun itu menyumbang £250,000 bagi membina sekolah di Bambali dan kelmarin dia menggandakan jumlah tersebut untuk membantu pembinaan hospital.

Hospital terbabit mempunyai jabatan A&E, wad bersalin, fasiliti pergigian dan bilik konsultansi.

Mane pernah bercakap mengenai kematian bapanya dalam dokumentari mengenai kehidupannya."Dia mengadu sakit di perut tetapi kerana ketiadaan hospital, kami menggunakan perubatan tradisional,'' katanya.

"Mereka membawanya ke kampung dan dia mati di sana. Terdapat ramai pemberontak di sana, jadi tiada cara membawanya pulang dan mereka memilih mengebumikan ayah saya di sana."

Mane membesar di perkampungan kecil, bermain bola dengan batu atau buah-buahan kerana ketiadaan bola ketika itu.

Hasrat Mane untuk menjadi pemain bola sepak dianggap mustahil yang hanya boleh hadir dalam mimpi.

"Orang sekitar saya anggap saya tidak normal,'' kata Mane tahun lalu. ''Ketika saya katakan kepada ibu saya mahu menjadi pemain bola sepak, dia anggap saya gila. Bagi dia itu hanyalah impian kosong.''

Mane terpaksa lari meninggalkan rumah pada satu ketika untuk mencapai cita-citanya. Kini dia salah seorang pemain terbaik dunia, dipilih Pemain Terbaik Afrika 2019 dan salah seorang tonggak kejayaan gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:05 PM