Suffian mahu penyokong penuhi stadium berdepan JDT. FOTO NSTP
Suffian mahu penyokong penuhi stadium berdepan JDT. FOTO NSTP
Asrol Awang


SKUAD Tok Gajah turun dengan dua misi penting apabila melayan kunjungan Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan Ahad ini.

Selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super, Pahang mempunyai misi membenam cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) di hadapan penyokong setia mereka.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan bagi menafikan hasrat JDT mengutip mata.

"Ini peluang terbaik catat kemenangan dan merampas kedudukan teratas Liga Super daripada JDT.

"Kita mempunyai rekod baik dan belum lagi tewas dalam saingan Liga Super setakat ini. Saya harap pemain konsisten hujung minggu ini," katanya.

Mohammed Suffian berkata, perkara utama yang perlu diberi perhatian pengendali, Dollah Salleh adalah memantapkan jentera serangan selain memilih pemain terbaik untuk bahagian tengah.

"Semua pemain sudah mempamerkan aksi terbaik mereka (dalam perlawanan sebelum ini) dan terpulang kepada Dollah untuk tentukan corak taktikal yang akan digunakan.

"Sudah pasti perlawanan malam Ahad ini juga banyak bergantung kepada sokongan daripada peminat setia skuad Tok Gajah, tanpa mereka pasukan Pahang seolah-olah kehilangan semangat juang.

"Saya minta semua penyokong dan peminat setia Pahang untuk turun beramai-ramai memenuhi stadium bagi memberikan motivasi serta suntikan semangat kepada pemain," katanya.

Selepas 10 perlawanan, skuad kendalian, Dollah merekodkan tujuh kemenangan dan tiga seri dengan mengutip 24 mata, dibezakan dua mata dengan JDT selaku pendahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:19 PM