NAURAJ (kiri) menang emas lompat tinggi lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala Hup Wei pingat perak. — FOTO Yazit Razali
NAURAJ (kiri) menang emas lompat tinggi lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala Hup Wei pingat perak. — FOTO Yazit Razali
Aida Adilah Mat


HARAPAN untuk menyaksikan pingat kini terletak di bahu dua atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa apabila mereka layak ke pusingan akhir Kejohanan Olahraga Asia di Doha.

Selepas pemenang pingat perak dua tahun lalu dalam acara lempar cakera, Irfan Shamsuddin sekadar melakukan 55.18 meter meletakkannya di kedudukan kesembilan sekali gus gagal layak ke akhir, harapan kini disandarkan di bahu kedua-dua atlet itu untuk melakukan kejutan.

Hup Wei dan Nauraj melepasi ketinggian 2.16m untuk layak beraksi pada acara akhir.

Ditanya adakah atlet negara mampu menyumbangkan pingat, ketua jurulatih olahraga Zainal Abas berkata: “Kami doakan,” katanya.

Hup Wei pernah menyumbang emas pada Kejohanan Olahraga Asia 2007 di Amman, Jordan dengan ketinggian 2.24m.

Sementara itu, pada aksi yang berlangsung lewat malam tadi, atlet lompat kijang negara yang juga pemegang rekod kebangsaan, Hakimi Ismail menamatkan cabaran di kedudukan kelapan selepas melakukan lompatan sejauh 15.83m.

Acara itu dimenangi atlet Uzbekistan, Ruslan Kurbanov 16.93m, perak dan gangsa masing-masing milik atlet China, Zhu Yaming (16.87m) dan Xu Xiaolong (16.81m).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:25 PM