AZIZUL dipilih sebagai Olahragawan Negara tiga kali pada 2009, 2010 dan 2017. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
AZIZUL dipilih sebagai Olahragawan Negara tiga kali pada 2009, 2010 dan 2017. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
BERNAMA

ATLET cemerlang dalam dua temasya sukan tahun lalu mendominasi pencalonan bagi Anugerah Sukan Negara 2018 pada 23 April ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat ke majlis diadakan sejak 1966 itu bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

“Sebanyak 65 pencalonan diterima daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Mesyuarat jawatankuasa pemilihan hari ini menyenarai pendek calon dan memilih pemenang bagi setiap kategori dipertandingkan,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada sidang akhbar selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla RRV Suppiah di Kuala Lumpur, hari ini.

AHLI jawatankuasa pemilihan Anugerah Sukan Negara selepas bermesyuarat di Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Facebook Majlis Sukan Negara
AHLI jawatankuasa pemilihan Anugerah Sukan Negara selepas bermesyuarat di Kuala Lumpur, hari ini. — FOTO Facebook Majlis Sukan Negara

“Antara nama dipertimbangkan adalah Azizulhasni Awang (berbasikal), Rafiq Ismail (bowling), Syahrul Azman Mahen (bina badan), Latif Romly (olahraga para), Ziyad Zulkefli (olahraga para) dan Ridzuan Puzi (olahraga para).

“Bagi calon wanita pula, kami ada antaranya S Sivasanggari (skuasy), Siti Zalina Ahmad (boling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (bowling),,” kata Shapawi.

Beliau berkata, calon disenarai pendek itu adalah bagi memudahkan kerja pemilihan dibuat, namun beliau enggan menamakan calon yang disenarai pendek dalam 11 kategori dipertandingkan.

“Ini tidak bermakna calon lain yang dicalonkan untuk kategori itu tidak mempunyai pencapaian terbaik. Kami tidak mahu timbul rasa tidak puas hati dan tidak dihargai,” katanya.

RAFIQ menang Anugerah Atlet Terbaik SAM baru-baru ini. — FOTO Sairien Nafis
RAFIQ menang Anugerah Atlet Terbaik SAM baru-baru ini. — FOTO Sairien Nafis

Menurut beliau, asas pemilihan bagi Anugerah Sukan Negara 2018 menjurus kepada kecemerlangan atlet pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta kejohanan dunia sepanjang 2018.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 10:07 PM