PEMAIN Liverpool perlu menang jika mahu julang gelaran liga. -Foto AFP
PEMAIN Liverpool perlu menang jika mahu julang gelaran liga. -Foto AFP
Reuters

PENYOKONG Liverpool wajar dimaafkan andai mereka berasa ‘seram sejuk’ menjelang aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini berdepan Chelsea di Anfield.

Lima tahun lalu Liverpool menanti kunjungan Chelsea dengan baki tiga perlawanan, menyedari bahawa kemenangan akan meletakkan mereka enam mata di depan dan hampir pasti menjulang gelaran liga pertama sejak 1990.

Namun semuanya hanya tinggal sejarah.

Pada saat akhir separuh masa pertama ayam tambatan mereka Steven Gerrard gagal mengawal hantaran Mamadou Sakho di kawasannya sendiri, apabila terjatuh sekali gus membolehkan Demba Ba melarikan bola dan menjaringkan gol.

Liverpool kemudiannya tewas 0-2, gagal memanfaatkan kelebihan 3-0 ke atas Crystal Palace sebelum seri 3-3 seminggu kemudian dan gelaran itu dirampas Manchester City dengan kelebihan dua mata.

Penyokong Chelsea akan sekali lagi meraikan versi terbaharu ‘lagu Steven Gerrard’ Ahad ini apabila mereka berpeluang mensabotaj impian Liverpool bergelar juara.

Dengan Manchester City mampu mendahului satu mata jika menewaskan Crystal Palace 24 jam sebelum itu di London, Liverpool menyedari bahawa hanya kemenangan di laman sendiri ke atas Chelsea dalam tempoh tujuh tahun akan meletakkan mereka di puncak liga.

Sekiranya skuad Juergen Klopp berjaya merebut tiga mata dalam perlawanan paling sukar dalam lima perlawanan terakhir, penyokong pasti yakin penantian mereka bakal berakhir.

Juara bertahan City, yang kurang satu perlawanan berbanding pencabar mereka masih perlu menentang Manchester United dan Tottenham Hotspur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:36 AM