Aksi pemain Wolves, Raul Jimenez (kiri) ketika perlawanan menentang Manchester United, Selasa lalu. FOTO Reuters.
Aksi pemain Wolves, Raul Jimenez (kiri) ketika perlawanan menentang Manchester United, Selasa lalu. FOTO Reuters.
AFP

WOLVES memecahkan rekod perpindahan kelab itu hari ini untuk memastikan penjaring terbanyak mereka Raul Jimenez kekal di Molineux dengan kontrak tetap yang dilaporkan bernilai RM160.52 juta (£30 juta) dari Benfica.

Pemain Mexico itu sudah menjaringkan 15 gol dalam musim penampilannya di England bagi kelab pertengahan liga yang beraksi baik pada pusingan awal kempen Liga Perdana.

Barisan kendalian Nuno Espirito Santo menewaskan Manchester United buat kali kedua dalam masa tiga minggu pada Selasa untuk kekal di tangga ke tujuh dalam liga selain bakal berdepan Watford di peringkat separuh akhir Piala FA pada Ahad.

Jimenez menjaringkan gol pertama yang melakar kemenangan ke atas United dan menemui sentuhan jaringan ketika mencatat kemenangan manis ke atas Chelsea, Liverpool dan Tottenham.

“Sejak saya tiba di sini semuanya berjalan lancar,” Jimenez memberitahu menerusi laman web kelab itu.

“Kami mempunyai beberapa saat baik, beberapa saat buruk, tetapi yang terbaik adalah sangat bagus dan saya sangat gembira dengan perkara itu.”

Keputusan menandatangani pemain berusia 27 tahun itu menyaksikan Wolves berbelanja sekitar RM876.10 juta (£164 juta) sejak pemilik dari negara China, Fosun mengambil alih kelab berkenaan pada 2016.

“Kesan yang diberikan Raul (Jimenez) dalam tempoh jangka pendek di kelab ini cukup menakjubkan dan kami berbesar hati apabila dia akan menjadi sebahagian daripada pemain dalam perancangan kelab untuk jangka panjang,” kata Pengarah Sukan Wolves, Kevin Thelwell.

“Kontrak perjanjian tetap bersama Raul menunjukkan kesungguhan kelab bola sepak ini sekali gus bertekad memastikan perancangan masa depan yang menarik.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 10:52 PM