JIMENEZ menyelamatkan maruah Wolves apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-97. — FOTO Reuters
JIMENEZ menyelamatkan maruah Wolves apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-97. — FOTO Reuters
Reuters

SEPAKAN penalti penyerang Mexico, Raul Jimenez pada minit ketujuh masa kecederaan membantu Wolverhampton Wanderers seri 1-1 di laman sendiri dengan Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Burnley mendahului pada minit ke-13 menerusi jaringan mengagumkan dari jarak 20 meter penyerang Ashley Barnes, yang meledak gol dalam semua tiga perlawanan musim ini dan kini mengumpul empat gol.

Mungkin bergelut disebabkan impak kelayakan Liga Europa, Wolves kurang tajam di depan namun menemui tenaga diperlukan pada lewat permainan.

Pada minit ketiga masa kecederaan, rembatan Jimenez terkena palang selepas dia berpusing dalam kotak penalti dan pemain Mexico itu meraih penalti apabila dia dijatuhkan pertahanan Burnley, Erik Pieters.

BARNES (tengah) menjaringkan gol tunggal Burnley di Stadium Molineux. — FOTO Reuters
BARNES (tengah) menjaringkan gol tunggal Burnley di Stadium Molineux. — FOTO Reuters

Jimenez tenang menyempurnakan sepakan penalti itu sekali gus mengecewakan anak buah Sean Dyche dan memastikan keputusan seri ketiga dalam tiga perlawanan buat Wolves.

“Saya fikir (penalti) satu keputusan tepat,” kata Jimenez.

“Ketika saya mengawal bola dia cuba menyepak bola itu namun dia menyepak saya. ia hadir pada masa yang bagus buat kami.

“Mungkin satu mata lebih adil buat kami kerana kami mencuba untuk menjaringkan gol dalam semua perlawanan. Mereka bermain hanya hantaran jauh dan ia menyukarkan kami. Minggu depan kami perlu meraih tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 8:25 AM