The Sun

PENYOKONG Manchester United mengkritik Sergio Romero dan Marcos Rojo kerana ‘seronok ketawa’ di bangku simpanan ketika skuad mereka mengalami kekalahan memedihkan di Wolves.

Pengurus skuad itu, Ole Gunnar Solskjaer yang berharap untuk berada dalam kedudukan empat teratas mengalami tamparan hebat apabila tewas 2-1 di Stadium Molineux.

Ia bertambah perit selepas Ashley Young dibuang padang ketika United terlepas peluang melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika saingan berbaki enam perlawanan musim ini.

Malah kegagalan mengutip biarpun satu mata pada perlawanan benar-benar memberi padah ketika empat skuad bersaing untuk dua slot kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL).

Jika Chelsea mengatasi Brighton hari ini, United akan turun ke tangga keenam liga dan terus bermain kejar-mengejar untuk ke Liga Europa musim depan.

Bagaimanapun situasi bertambah serius berikutan gelagat bintang United Romero dan Rojo yang duduk bersebelahan di bangku simpanan ketika perlawanan.

Rakaman televisyen menunjukkan Solskjaer jelas kecewa di tepi garisan padang pada waktu kecederaan.

Pada masa yang sama, dua pemain Argentina itu yang berada di belakangnya pula dilihat begitu seronok bergurau sambil ketawa ketika itu.

Keadaan amat berbeza dengan pemain berada di atas padang melalui detik sukar dengan disaksikan penyokong tetapi sekadar melihat pasukan mereka terlepas tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:59 PM
Skuad Solskjaer akan turun tangga keenam EPL sekiranya Chelsea menewaskan Brighton. FOTO REUTERS/Youtube
Skuad Solskjaer akan turun tangga keenam EPL sekiranya Chelsea menewaskan Brighton. FOTO REUTERS/Youtube