Saiful Affendy Sapran


“SAYA banyak nama, Muhammad Garret, Othman, Talib dan Ismail. Saya pun tak faham kenapa mereka panggil saya dengan nama itu. Tapi saya OK je.”

Demikian seloroh warga Amerika Syarikat, Garret Patric Gillespie atau Garret yang mula menjadi tumpuan selepas videonya fasih berbahasa Melayu tular di YouTube.

Garret yang juga mekanik bagi pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing berkata, dia mula mempelajari bahasa Melayu sejak tiba di negara ini lapan tahun lalu.

“Pada mulanya saya seorang ‘backpackers’ yang mengembara di serata dunia sebelum tiba di Malaysia pada 2011. Saya sememangnya peminat sukan permotoran dan ada kepakaran dalam membaiki motosikal terutama bahagian suspensi. Seminggu selepas tiba di sini, saya ditawarkan bekerja sebagai mekanik.

“Mula-mula saya belajar bahasa Melayu menerusi ‘Google’. Kemudian ramai yang tegur kerana banyak perkataan tak betul. Sejak itu saya mula perlahan-lahan belajar daripada rakan sekeliling dan hasilnya agak fasih sekarang,” katanya.

Garret berkata, dia kekal menjadi mekanik dan terbabit dengan sukan permotoran selepas itu sebelum membuka bengkel bersama rakan kongsi, Ami Hazuwar, 36, di Setapak.

Pembabitan sebagai mekanik di ONEXOX TKKR SAG Racing pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) adalah yang terbesar dalam karier pemuda berusia 27 tahun dari Missouri itu.

MEMANTAU rakannya membaiki motosikal berkuasa tinggi. FOTO Azhar Ramli
MEMANTAU rakannya membaiki motosikal berkuasa tinggi. FOTO Azhar Ramli

Hasil kepakarannya dalam aspek suspensi, pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman memenangi perlumbaan pertama kategori ASB1000cc pada pusingan pertama ARRC di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

“Nama Othman, Talib dan Ismail adalah panggilan rakan sepasukan dalam ONEXOX TKKR manakala nama Muhammad Garret ada ceritanya tersendiri.

“Saya ada teman wanita Melayu yang sudah dikenali selama tiga tahun dan apabila rakan tanya bila lagi (majlis perkahwinan), mereka akan panggil saya dengan nama itu,” katanya.

Ditanya adakah dia mengenali jejaka Inggeris yang fasih berbahasa dialek Terengganu, Muhammad Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan, Garret mengakui mengenalinya tetapi tidak pernah terlintas untuk menjadi popular seperti Mat Dan.

“Sebelum ini apabila saya pergi kedai orang sering bertanya adakah saya adik Mat Dan. Sebab mereka pelik melihat saya. Selepas itu mereka akan bertanya macam-macam. Boleh dikatakan dalam satu hari ada dua atau tiga orang bertanya perkara sama.

“Saya tak pasti perjalanan hidup selepas ini adakah seperti dia (Mat Dan) sebab banyak kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Selepas lapan tahun di sini, Garret mengakui lebih selesa berbanding tempat asalnya.

“Saya suka cuaca panas di sini, orang Malaysia yang peramah dan suka membantu serta makanan di Malaysia.

“Paling saya suka sotong sambal petai dan buah-buahan pula cempedak. Kalau tanya saya pasal durian, secara jujur saya tak minat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:10 PM
GARRET mula mempelajari bahasa Melayu sejak tiba di negara ini lapan tahun lalu. FOTO Azhar Ramli
GARRET mula mempelajari bahasa Melayu sejak tiba di negara ini lapan tahun lalu. FOTO Azhar Ramli