Franco Morbidelli menunggang jentera motosikalnya. FOTO Ihsan Petronas SRT.
Franco Morbidelli menunggang jentera motosikalnya. FOTO Ihsan Petronas SRT.
Saiful Affendy Sapran


KETIKA tumpuan lebih terarah kepada Hafizh Syahrin Abdullah serta Khairul Idham Pawi, pembabitan dua pasukan negara di Kejohanan Motosikal Dunia musim ini juga wajar diberikan tumpuan.

Kedua-dua pasukan itu, Petronas Sepang Racing Team (SRT) serta ONEXOX TKKR SAG Team mengambil langkah berani dengan pelaburan berjuta ringgit untuk mengambil bahagian pada saingan musim ini.

Petronas SRT membariskan dua pelumba di kelas perdana MotoGP iaitu Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo manakala Khairul (Moto2), Ayumu Sasaki dan John McPhee (Moto3) beraksi di bawah nama Petronas Sprinta Racing.

ONEXOX TKKR SAG pula mengambil bahagian dalam Moto2 dengan mempertaruhkan dua pelumbanya, Remy Gardner dan Tetsuta Nagashima.

Melihat kepada prestasi ujian pra musim, Morbidelli serta Quartararo dilihat berpotensi untuk bersaing di kelompok hadapan bersama jentera Yamaha.

"Kami mempunyai kepantasan pada hari kedua ujian di Qatar dan saya rasa perbezaan antara kesemua pelumba tidak jauh bezanya.

"Pada perlumbaan pusingan pertama nanti kami perlu memanfaatkan sebaik-baiknya kerana jentera Yamaha berfungsi dengan sangat baik di atas litar," kata Morbidelli.

Sementara itu, Gardner pula yang mencatat masa ketiga terpantas pada sesi ujian pra musim terakhir mengakui keputusan positif itu meningkatkan lagi keyakinannya untuk memperoleh keputusan terbaik pada perlumbaan pertama nanti.

"Kami melakukan beberapa pelarasan pada jentera dan saya cukup yakin untuk turun beraksi hujung minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:19 PM