AKSI Azlan Shah ‘melayan’ selekoh  ketika sesi latihan  di Litar Sepang. - FOTO Syarafiq Abd Samad
AKSI Azlan Shah ‘melayan’ selekoh ketika sesi latihan di Litar Sepang. - FOTO Syarafiq Abd Samad
Saiful Affendy Sapran

AZLAN Shah Kamaruzaman mahu melakar sejarah menjadi pelumba pertama memenangi kategori baharu ASB1000cc pada pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Keyakinan pelumba negara berusia 35 tahun itu dilihat cukup tinggi selepas mencatat masa kedua terpantas pada hari pertama ujian pramusim di SIC hari ini.

Azlan yang beraksi bersama pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing hanya ketinggalan 0.600 saat (s) berbanding Broc Parkes (YAMAHA Racing Team ASEAN) yang mencatat masa sepusingan terpantas 2 minit 06.937s.

"Pada sesi ujian pertama ini saya memang sasarkan untuk berada di dalam kelompok lima pelumba terbaik. Saya lebih fokus untuk membiasakan diri dengan jentera dan cuba mendapatkan pelarasan yang baik.

"Saya yakin dapat beraksi dengan baik di litar ini dan sasarkan untuk memberi kemenangan pertama kepada pasukan," katanya.

Azlan yang pernah beraksi di kategori Moto2 Kejohanan Motosikal Dunia berkata, saingan ARRC menjadi keutamaannya pada musim ini. Selain ARRC, Azlan juga perlu beraksi di Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV).

"Apapun saya perlu melihat kepada prestasi semasa antara kedua-dua saingan ini tetapi ARRC tetap menjadi keutamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:49 PM