ARIF, Azriyn masih berharap layak ke Kejohanan Dunia serta Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Eizairi Shamsudin
ARIF, Azriyn masih berharap layak ke Kejohanan Dunia serta Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


GANDINGAN beregu lelaki profesional negara, Arif Latif- Azriyn Ayub masih lagi mengharapkan agar mereka berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun ini serta menempatkan diri di Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun gagal menepati sasaran aksi jelajah di Eropah.

Menurut Arif, mereka sebelum ini meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dan suku akhir di dua kejohanan di Eropah namun hanya satu saja menepati apa yang diharapkan iaitu di Terbuka Switzerland.

Awal pagi semalam perjalanan Arif-Azriyn tersekat di suku akhir Terbuka Switzerland, selepas tumpas 21-18, 20-22, 15-21 kepada Kim Gi Jung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

"Ya, sasaran kami tahun ini adalah untuk berjuang sehingga dapat melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Basel Ogos depan. Bagaimanapun, Sukan Olimpik tetap menjadi sandaran utama," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Berdasarkan ranking terkini yang dikemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 12 Mac lalu, tiga pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berada pada landasan terbaik untuk melayakkan diri ke kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, Arif-Azriyn berada di kedudukan ke-32 dengan mengumpul 37,100 mata dibezakan, 7,160 mata dengan Yew Sin-Ee Yi yang berada di ranking ke-23.

"Memang mereka semua (pemain beregu muda) tengah meningkat naik sekarang ini, jadi ia juga bagus untuk pemain profesional seperti kami. Persaingan akan menjadi bertambah sengit," kata Arif.

Mereka yang akan beraksi di Terbuka India selepas ini, mengakui sudah memberikan persembahan terbaik ketika di suku akhir Terbuka Switzerland semalam namun terpaksa akur dengan pengalaman dimiliki oleh Gi Jung-Yong Dae.

"Memang sasaran kami di jelajah Eropah ini untuk layak ke separuh akhir sekali dan suku akhir sekali," kata Arif yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara.

Di Terbuka Jerman mereka kalah di pusingan pertama kepada Aaron-Wooi Yik 16-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:33 PM