ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Penyandang juara, Roger Federer menyamai permulaan terbaiknya dalam semusim apabila meraih kemenangan 7-5, 6-1 ke atas Chung Hyeong untuk mara ke separuh akhir Masters ATP Indian Wells, hari ini.

Federer yang juga pemain tenis nombor satu dunia dan memburu gelaran keenam di Indian Wells melanjutkan deretan kemenangannya kepada 16 aksi berturut-turut.

Ia menyamai pencapaian yang juga rekod terbaiknya pada 2006.

Di separuh akhir, pemain dari Switzerland itu dijadual bertemu pemain Croatia, Borna Coric yang sebelum itu menyingkirkan pilihan ketujuh, Kevin Anderson 2-6, 6-4, 7-6 (7/3).

“Permainannya agak sama dengan Chung,” kata Federer mengenai perlawanan dengan Coric di peringkat empat terbaik nanti. “Pemain yang mempunyai gerakan yang hebat dan memiliki begitu banyak keyakinan.

“Saya terpaksa bermain dengan agresif sebanyak mungkin. Ia ringkas, tidak mudah untuk melakukannya.”

Federer memenangi 70 peratus daripada servis pertamanya dan hanya melakukan satu kesalahan berganda dan mematahkan servis Chung sebanyak empat kali dalam aksi yang berlangsung selama sejam 23 minit.

Dia meraih kemenangan pada mata terakhir yang kedua dengan melakukan servis ace ke-12 pada pertembungan itu.

Ia adalah perlawanan pertama membabitkan Federer dan Chung sejak aksi separuh akhir Grand Slam Terbuka Australia yang menyaksikan legenda Switzerland itu mendahului 6-1, 5-2 sebelum lawannya dari Korea Selatan itu terpaksa menarik diri susulan kecederaan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 3:14 PM