Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya mengaku acara perseorangan adalah acara yang perlu diberi perhatian dan wajar mempamerkan peningkatan tahun ini selepas kurang meraih keputusan memberangsangkan musim lalu.

Situasi itu berlaku mungkin kerana ketiadaan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang menarik diri daripada beberapa kejohanan penghujung tahun lalu selain mengambil keputusan untuk hanya menyertai saingan kompetitif bermula di Seluruh England pada Mac tahun ini.

Nampaknya situasi itu sudah menimbulkan rasa ‘cemas’ kepada badan induk kerana tanpa Chong Wei, maka sukarlah untuk melihat Jalur Gemilang terus gah berkibar di pentas antarabangsa.

Persoalan saya ialah, kenapa baru sekarang mereka mula menyedari acara perseorangan - tidak kira lelaki mahupun wanita - berada dalam situasi ‘tenat’?

Hakikatnya, isu membabitkan pelapis Chong Wei serta program pembangunan untuk acara perseorangan sudah lama menjadi bahan bualan. Cuma ialah BAM seolah-olah tidak serius menghadapi situasi itu.

Nah, sekarang apabila Chong Wei hampir di penghujung karier dan mula memilih kejohanan tertentu untuk disertai, barulah BAM menyatakan beban itu perlu digalas barisan pemain muda.

Tetapi sekali lagi soalnya ialah siapa pemain selain Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang dilihat satu-satunya agak menyerlah. Anda kenal pemain perseorangan negara lain di bawah BAM? Saya yakin tidak.

Situasi sama juga berlaku dalam kem perseorangan wanita. Bekas pemain utama negara Tee Jing Yi yang sekian lama beraksi dalam acara perseorangan akhirnya memilih untuk beraksi dalam acara beregu.

Keputusan Jing Yi itu pastinya agak mengejutkan tetapi pada masa sama wajar juga kerana tidak banyak pencapaian yang diraihnya dalam acara perseorangan.

Mujur kita ada juara remaja dunia Goh Jin Wei yang kini memegang status selaku pemain perseorangan wanita utama negara.

Tapi takkan nak mengharap pada Jin Wei saja untuk menyerlah sama seperti Chong Wei. Bagaimana dengan pemain perseorangan wanita lain?

Sudah berulang kali saya katakan, BAM perlu lebih teliti dalam membimbing pemain perseorangan kita. Letakkan hala tuju yang jelas serta sasaran sepanjang tahun.

Beri pendedahan kepada barisan pemain muda untuk beraksi lebih banyak di kejohanan antarabangsa. Jangan terlalu mengharapkan hanya kepada Chong Wei, Chong Wei dan Chong Wei saja.

Namun, sekarang segala-galanya sudah terlambat. Tiada langkah drastik, terutama untuk menggantikan Chong Wei.

Justeru, bermulalah dari bawah semula. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:08 AM