JIN Wei jumpa Akane pada separuh akhir Terbuka Jerman malam ini. — FOTO Luqman Hakim Zubir
JIN Wei jumpa Akane pada separuh akhir Terbuka Jerman malam ini. — FOTO Luqman Hakim Zubir
Ferzalfie Fauzi


PERSEORANGAN wanita negara, Goh Jin Wei mengetuai kemaraan pemain negara pada Terbuka Jerman apabila mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan keempat Zhang Biwen dari Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Jin Wei yang juga juara remaja dunia dua kali, bagaimanapun terpaksa berhempas-pulas sebelum menang 21-19, 19-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.

Menanti pemain berusia 19 tahun itu pada separuh akhir malam ini adalah pilihan kedua dari Jepun, Akane Yamaguchi, yang sebelum itu menumpaskan rakan senegara, Sayaka Takahashi 21-19, 22-20.

Pujian juga harus diberikan kepada gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mara ke separuh akhir selepas menumpaskan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 22-20, 21-18.

“Perlawanan tadi berlangsung seimbang, cuma di hujung saingan kami dapat mengawal permainan. Harapan kami buat yang terbaik dan main tanpa sebarang tekanan,” kata Izzuddin ketika dihubungi Arena Metro.

Izzuddin juga mengakui mereka banyak belajar daripada kesilapan pada Masters Sepanyol minggu lalu dan memperbaiki tahap permainan.

Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu pilihan kedua dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe yang mengalahkan beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 23-21, 21-12.

Turut mara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang melakar kejutan menumpaskan pilihan keempat dari China, He Jiting-Du Yue 23-21, 21-16.

Sementara itu, dua wakil perseorangan lelaki negara terkandas pada suku akhir apabila Lee Zii Jia kalah kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan 18-21, 20-22 manakala Soong Joo Ven tunduk di tangan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark 13-21, 21-18, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 7:35 AM