AMIZAL meletak jawatan sebagai Presiden PFA baru-baru ini. — FOTO Supian Ahmad
AMIZAL meletak jawatan sebagai Presiden PFA baru-baru ini. — FOTO Supian Ahmad
Syazwan Msar


PUSAT latihan bola sepak di Janda Baik adalah milik penuh Kolej Malaysian Integrated Business (MIB) sekali gus menolak dakwaan akademi itu kepunyaan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Malah, pengurusan MIB juga menolak dakwaan pihaknya menaja pasukan itu terutama membabitkan kewangan dan pembayaran gaji pemain hingga menjurus kepada pandangan negatif orang ramai terhadap kolej itu.

Ketua Pegawai Operasi MIB, G Raaj Kumar berkata, kolej itu hanya menjalinkan kerjasama dengan PFA membabitkan program pembangunan bola sepak remaja dan Piala Presiden saja tanpa menyentuh mengenai pengurusan mereka dan pasukan Liga Malaysia.

Katanya, kolej itu juga hanya menampung perbelanjaan penginapan, pengangkutan, makanan dan kemudahan latihan dengan kos keseluruhan RM700,000 bagi membangunkan bola sepak remaja dan Piala Presiden.

“Kolej MIB dikatakan antara penaja utama PFA namun hakikatnya kami hanya jalinkan kerjasama sekali gus menolak akan menyalurkan dana kewangan kepada pasukan itu.

“Bagi meningkatkan lagi mutu pemain menerusi pembangunan bola sepak menyebabkan Kolej MIB mengambil alih pusat latihan bola sepak di Janda Baik dan ia tiada kena mengena dengan bekas presiden itu,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, pelbagai isu timbul membabitkan PFA termasuk tunggakan gaji hingga menyebabkan Singa Utara disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia.

Selain Kolej MIB, syarikat penerbangan Malindo Air dan Universiti Malaya turut mengesahkan mereka tidak menaja Perlis musim ini seperti yang tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:03 PM