HASMAWI Hassan (kanan) ketika sidang media di MIB College. -Foto NSTP
HASMAWI Hassan (kanan) ketika sidang media di MIB College. -Foto NSTP
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Tolonglah ‘keluar’ dan bertanggungjawab terhadap kerosakan yang sudah dilakukan sebelum ini.

Itu rayuan Hasmawi Hassan, bekas pegawai khas kepada mantan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Malah Hasmawi turut mahu bekas presiden itu memperbetulkan kesilapan yang sudah dilakukan seterusnya bersemuka dengan pemain, barisan jurulatih dan peminat bagi menerangkan keadaan sebenar.

Walaupun Ahmad Amizal Shaifit sudah tidak menyandang jawatan presiden PFA, namun beliau perlu sedar tindakannya sebelum ini menyebabkan pasukan Singa Utara boleh dikatakan musnah termasuk membabitkan pemain akar umbi.

“Kesannya sangat besar terhadap individu yang terbabit malah tindakannya sebelum ini merosakkan karier pemain selain menjatuhkan rumah tangga individu berkenaan apabila tidak menerima sebarang gaji.

“Jika diikutkan sehingga kini tiada satu apa pun tindakan yang dilakukan oleh dia (Ahmad Amizal Shaifit) bagi menjernihkan keadaan selain tidak mahu mengambil tahu keadaan terkini pasukan termasuk pemain diakar umbi,” kata bekas pemain kebangsaan itu pada sidang media, di sini, semalam.

Sebelum ini, pelbagai isu timbul membabitkan PFA termasuk tunggakan gaji pemain hingga pasukan Singa Utara disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia.

Empat hari lalu, Ahmad Amizal Shaifit akhirnya meletakkan jawatan selepas kira-kira empat bulan menyandang jawatan presiden PFA.

Selain itu, Hasmawi yang juga antara individu paling rapat dengan bekas presiden itu mendedahkan tidak mendapat gaji atau menerima sebarang pembayaran sejak Oktober tahun lalu.

“Saya sebenarnya adalah jurulatih kepada Kolej Malaysian Integrated Business College (MIB) sebelum dipinjamkan untuk menjadi pegawai khas kepada PFA membabitkan urusan membawa masuk pemain dan juga pembangunan bola sepak.

“Namun, membabitkan pengurusan, saya sememangnya tidak diberitahu mengenai perancangan mereka dan apa jua keputusan mereka adalah di luar pengetahuan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:30 AM