DM/Instagram/EJ

BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Neymar menayangkan but ‘signature’ terbarunya, Mercurial Vapor 360 biarpun masih dalam proses sembuh daripada kecederaan.

Penyerang Brazil itu mengalami kecederaan tulang metatarsal kelima pada kaki kanan sewaktu kelab juara Perancis itu menentang Strasbourg pada saingan Piala Perancis, bulan lalu.

Doktor kemudian mengesahkan dia tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya tujuh minggu.

Neymar yang mendapat rawatan di Paris dan Barcelona kembali ke Brazil, semalam untuk menjalani pemerhatian selama 10 hari di bawah pengawasan jabatan perubatan PSG.

Ketika berehat dalam penerbangan, Neymar mengambil kesempatan menayangkan but terbarunya itu.

Sambil jari diletakkan di bibirnya, but diberi nama jolokan 'Silencio' itu merujuk kepada 'kebolehannya bergerak secara senyap dan fokus kepada bola' menurut laman web pengeluar kasut itu.

Menurut keterangan gambar di Instagram, dia menulis: “But baru saya ada makna istimewa, malangnya saya tidak dapat menggunakannya sekarang tetapi akan berada di kaki saya tidak lama lagi!!!'

But itu dijual pada harga £229.95 (RM1,223) di United Kingdom (UK).

Rabu lalu, Neymar dilihat berada di lapangan terbang Barcelona selepas mengunjungi bekas doktornya ketika beraksi bersama kelab Catalan itu.

Dia mendapatkan rawatan serta pemantauan daripada doktor pakar bedah ortopedik dan sains sukan terkenal Sepanyol, Ramon Cugat yang mendapat kepercayaan Neymar.

Pemain Brazil itu mengakui menangis selama dua hari akibat patah tulang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 1:13 PM
Neymar bersama but terbarunya, Silencio. FOTO AP/Instagram Neymar
Neymar bersama but terbarunya, Silencio. FOTO AP/Instagram Neymar