PEMAIN PSG, Neymar. FOTO AFP
PEMAIN PSG, Neymar. FOTO AFP
AFP

NEYMAR yang hampir cergas sepenuhnya akan pulang ke Paris dari Rio, Brazil esok, kurang 40 hari menjelang pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia, lapor akhbar Perancis, L’Equipe.

Ketika kepulangannya ke Paris Saint-Germain (PSG) tampak terlalu lewat untuk mencetus impak terhadap kelabnya itu, peminat Brazil begitupun terdesak untuk melihat bintang mereka itu mengetuai pasukan di Russia.

Penyerang berusia 26 tahun itu yang menjadi pemain termahal dunia susulan perpindahannya dari Barcelona ke PSG dipalit kecederaan patah tulang kaki kanan pada 25 Februari lalu sebelum menjalani pembedahan pada 3 Mac.

Menurut L’Equipe, Neymar sudah berjalan tanpa menggunakan tongkat selama dua minggu tetapi bintang berkenaan pada minggu lalu berkata dia tidak akan bermain sebelum ujian perubatan terakhir pada 17 Mei ini.

Tarikh berkenaan adalah dua hari sebelum perlawanan terakhir PSG dalam kempen Ligue 1, musim ini.

Jurulatih PSG Unai Emery mengakui dia tidak bercakap dengan Neymar ‘selama beberapa minggu.’

“Dia tidak boleh diganggu untuk menjalani fisioterapi tetapi kami juga mahu dia bersama kami pada perlawanan terakhir,” kata Emery.

“Saya tidak tahu sama ada Jumaat atau Sabtu,” katanya ketika mengesahkan pemain itu dijadual kembali ke Paris dari Brazil.

Semasa ketiadaan Neymar, PSG disingkirkan Real Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara tetapi mereka merampas semula kejuaraan Ligue 1 dan Piala Liga dengan kelab gergasi itu turut dijadual bertemu kelab divisyen tiga, Les Herbiers bagi aksi final Piala Perancis, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 2:47 AM